Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya seorang wanita berumur 33 tahun. Ketika saya berumur 29 tahun, ibu saudara saya ingin perkenankan saya dengan seorang lelaki untuk tujuan perkahwinan, akan tetapi ibu saya menolak risikan tersebut. Risikan itu dilakukan tanpa pengetahuan saya, saya dapat tahu daripada kakak ipar saya setelah berbulan telah berlalu.
Satu hari, atas kehendak dan kekuasaan Allah, saya terdengar perbualan telefon antara ibu dan abang saya. Ibu menyuruh abang saya berjumpa dengan seorang bomoh untuk 'menyekat' jodoh saya. Malah ibu memberikan gambar saya untuk diberikan kepada bomoh tersebut.
Alasan ibu adalah kerana dia tidak rela melepaskan saya dan dia mahu saya menjaga dia walhal ibu mempunyai enam orang anak, tiga orang daripadanya duduk serumah dengan ibu, termasuklah saya.
Saya marah dan terkilan tetapi saya hanya mendiamkan diri.
Sehinggalah pada awal tahun ini, saya mendapati sekali lagi ibu dan kali ini pula kakak saya cuba memberikan air jampi kepada saya. Pada mulanya firasat saya mengatakan bahawa ianya air jampi, selang beberapa hari kemudian saya mengintip perbualan mereka dan betul firasat saya, ianya air jampi. Tetapi kali ini saya tidak tahu air jampi ini untuk apa.
Soalan saya, bolehkah saya keluar dan pindah tinggal berjauhan dari ibu saya dan adakah saya dikira anak derhaka kerana saya membenci ibu saya dan ingin menuntut keadilan di akhirat kelak? Kerana ibu sering menggunakan pepatah 'syurga di bawah tapak kaki ibu' sebagai alasan saya harus mengikut arahan dan menjaga dia sehinggalah dia meninggal dunia sedangkan dia menghalang saya berkahwin, keluar dengan kawan - kawan (perempuan) dan dia juga menghalang saya mempunyai pekerjaan sampai tahap saya mengalami masalah kewangan, gangguan jiwa, depresi dan hampir membunuh diri?
Terima kasih kerana sudi membaca.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, perbuatan menggunakan air jampi serapah serta mendatangi bomoh adalah haram dan dilarang dalam Islam. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan al-Hasan RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu membenarkan apa yang diperkatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. (Riwayat Ahmad)
Mentaati ibu bapa adalah sebahagian daripada berbuat baik kepada mereka. Mentaati mereka adalah wajib selagi mana permintaan mereka tidak bercanggah dengan ajaran Islam serta memberi mudarat kepada anak. Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah SWT.
Perbuatan yang memberi kesan buruk pada nyawa, maruah dan harta seseorang termasuk dalam maksiat kepada Allah SWT. Namun begitu, tidak mentaati mereka dalam hal ini tidak bererti tidak perlu berbuat baik kepada mereka seperti menjaga mereka ketika sakit dan seumpamaya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 15:
Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.
Dalam situasi ini, puan boleh berpindah dan tinggal berjauhan daripada ibu, bahkan boleh sampai ke tahap wajib jika dengan menetap di rumah tersebut boleh mendatangkan kemudaratan pada diri. Dengan berjauhan, puan akan lebih tenang dan mempunyai ruang untuk sentiasa berzikir dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Walaupun tinggal berjauhan, puan masih boleh bertanya khabar, bercakap dengan sopan, dan menjaga hubungan minimum yang baik yang mana termasuk dalam berbuat baik kepada ibu bapa. Pada masa yang sama, puan boleh dapatkan bantuan pihak luar yang seperti kaunselor yang bertauliah jika perlu. Semoga dipermudah segala urusan cik di dunia dan di akhirat.
Sekian, terima kasih.