Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan saya adalah berkenaan Solat Jamak dan Qasar. Saya pergi ke Pendang, Kedah dari Klang, Selangor untuk urusan keluarga. Saya memulakan perjalanan pada hari Sabtu dan menginap 1 hari ( Sabtu malam ) di sebuah homestay di Pendang, Kedah. Pada hari Ahad, saya berpindah homestay lain yang juga di Pendang ( jarak dalam 1 batu ) dan menginap di sana selama 4 hari iaitu pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu. Saya check out pada Khamis pagi dan balik semula ke Klang. Soalan saya : a) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu selepas saya check in ke homestay yang kedua? b) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar di sepanjang perjalanan saya pergi ke Kedah pada hari Sabtu dan balik ke Klang pada hari Khamis? c) a) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar pada hari Sabtu selepas saya check in ke homestay yang pertama? Sekain. Terimakasih.
Jawapan
Jamak dan qasar merupakan bentuk keringanan (rukhsah) yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam ketika mengerjakan ibadah solat khususnya sewaktu permusafiran. Keringanan ini disebut sebagai rukhsah di dalam agama kerana terdapat keuzuran atau halangan yang sedang dihadapi. Tujuannya adalah sebagai keringanan kepada umat Islam agar tetap mengerjakan ibadah solat yang difardukan ke atas setiap umat Islam. Berikut adalah jawapan kepada beberapa persoalan yang dikemukakan:
a) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu selepas saya check in ke homestay yang kedua?
Tidak boleh. Apabila tuan berniat untuk menginap di homestay kedua selama 4 hari (Ahad, Isnin, Selasa, Rabu), tuan telah dikira sebagai bermukim di tempat tersebut. Tempoh bermukim yang membatalkan rukhsah jamak dan qasar adalah apabila seseorang berniat untuk tinggal di sesuatu tempat selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari pergi dan hari balik. Oleh itu, tuan tidak boleh lagi melakukan solat jamak dan qasar pada hari-hari tersebut.
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyatakan bahawa apabila seorang musafir berniat untuk bermukim selama empat hari penuh, tidak termasuk hari masuk dan keluar, maka terputuslah perjalanannya, wajib baginya menyempurnakan solat (tidak qasar), dan tidak boleh mengambil sebarang rukhsah musafir.
b) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar di sepanjang perjalanan saya pergi ke Kedah pada hari Sabtu dan balik ke Klang pada hari Khamis?
Ya, boleh. Sepanjang perjalanan tuan dari Klang ke Kedah pada hari Sabtu dan dari Kedah ke Klang pada hari Khamis, tuan masih berstatus musafir. Oleh itu, tuan dibenarkan untuk melakukan solat jamak dan qasar.
c) Bolehkah saya sembahyang jamak dan qasar pada hari Sabtu selepas saya check in ke homestay yang pertama?
Ya, boleh. Walaupun anda menginap di homestay pertama pada hari Sabtu malam, niat tuan untuk menginap di situ hanyalah satu malam. Ini tidak mencapai tempoh empat hari yang membatalkan status musafir. Oleh itu, tuan masih boleh melakukan solat jamak dan qasar pada hari Sabtu tersebut.
Untuk itu boleh dirumuskan bahawa tuan boleh melakukan solat jamak dan qasar sepanjang perjalanan pergi dan balik, serta pada hari Sabtu di homestay pertama kerana tempoh penginapan kurang dari empat hari. Namun, tuan tidak boleh lagi melakukan solat jamak dan qasar pada hari Ahad, Isnin, Selasa, dan Rabu di homestay kedua kerana niat penginapan tuan di situ adalah selama empat hari, yang membatalkan status musafir.
Sekian, terima kasih.