Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato Mufti:
Soalan saya :
1. “Saya membasuh najis anjing di rumah saya menggunakan tanah dan enam kali air di tangga rumah. Semasa proses basuhan itu, air itu mengalir ke tanah di bawah tangga dan saya terpijak kawasan tersebut dengan selipar. Ada juga percikan air terkena pada kaki saya ketika membasuh. Pada mulanya saya sangka ia tidak najis kerana saya rasa kawasan itu sudah dibasuh, tetapi sekarang saya takut kalau percikan itu sebenarnya najis dan terkena pada badan saya.
Bagaimana hukumnya jika najis itu terkena pada saya, sedangkan selepas itu saya juga sudah mandi dengan pakaian Adakah najis tersebut tersebar? Adakah solat saya sah? Adakah air yang mengalir di tanah selepas basuhan itu juga dikira najis? Saya juga sudah terpijak tanah tersebut. Saya rasa Takut sangat ibadah saya tak sah dan was was atas masalah ini sebba indah saya tak di terima Mohon pencerahan daripada Dato Mufti, terima kasih
Jawapan
Air basuhan dari basuhan najis sudah dikira sebagai suci dan bersih. Sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Badan atau baju yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Walau bagaimanapun, sekiranya air percikan itu tidak mengandungi najis dan hanya sangkaan semata-mata, maka air percikan itu bukan najis. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji :
“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.
Sehubungan itu,:
1) Percikan air yang terkena pada kaki ketika membasuh adalah tidak najis jika tidak dapat dipastikan dengan yakin terdapatnya najis pada kaki saudara. Namun, jika meyakini terdapatnya najis daripada air basuhan pada kaki, maka perlu di basuh dan disucikan kaki tersebut. Jika ianya hanya sekadar andaian, maka kaki tersebut tidak bernajis.
2) Berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada kaki atau pakaian saudara sekalipun terkena percikan air.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa tuan perlu menyakini bahawa air basuhan itu telah suci dan bersih, maka tidak perlu disertu kaki tersebut. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah Fiqh yang menyatakan:
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.
Sekian, terima kasih.