BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustazah dan ustaz, saya ada beberapa soalan berkenaan keputihan.

1) Adalah semua keputihan dianggap najis?

2) Macam mana kita nak bezakan dari mana keputihan tu datang? Sebab saya ada baca yang keputihan dari bahagian tengah dikira suci tetapi membatalkan wudhu, jadi saya keliru cara nak bezakan keputihan.

3) Kalau keputihan tu datang daripada tengah, betul ke ia dianggap suci tetapi membatalkan wudhu?

4) Saya was was sangat dengan keputihan ni, boleh ke kalau saya berpegang pada pendapat yang mengatakan keputihan bukan najis?

Terima kasih sangat dalam membantu saya memahami perkara ini dengan lebih mendalam. Assalamualaikum 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sebagai mukadimah,  perkara yang perlu diperhalusi ialah perbezaan kelembapan faraj dan keputihan:

Lembapan faraj  (رطوبة الفرج)  ialah  cairan putih jernih yang diragukan  sama ada sifatnya antara  mazi dan peluh. Cecair ini keluar daripada kawasan faraj yang zahir apabila wanita duduk mencangkung. Kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.

Keputihan pula adalah cecair yang keluar daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang  tidak wajib dibasuh dinamakan ( رطوبة جوفية). Di dalam kitab al-Umm karangan Imam al-Shafi’i menyatakan:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

Maksudnya: Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam  faraj  selain  mani, maka statusnya najis. 

Merujuk soalan yang diajukan,

Kelembapan faraj tidak dihukumkan sebagai najis dan tidak membatalkan wuduk, manakala keputihan dihukumkan sebagai najis serta membatalkan wuduk. Kedua-duanya berbeza kerana keluar dari tempat yang berlainan. Namun, sekiranya saudari tidak dapat membezakan dari mana cairan itu keluar, maka perlu dihukumkan semuanya najis. Menurut Imam al-Shafi'i dalam kitab al-Umm, setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain air mani, maka statusnya najis.

Saudari hendaklah menganggap semua cecair yang keluar daripada faraj, selain air mani, sebagai najis kerana saudari tidak dapat membezakan antara lembapan faraj dan keputihan. Oleh itu, apabila cecair tersebut keluar, wuduk saudari terbatal dan perlu diperbaharui sebelum menunaikan solat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image