Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ada soalan berkaitan najis mughallazah.
Beberapa bulan yang lepas, saya telah membeli makanan kucing yang baharu (untuk kesihatan kucing tersebut). Tetapi saya baru sedar bahawa makanan kucing (wet food) tersebut mengandungi babi.
Soalan saya:
1. Saya difahamkan bahawa jika kita terkena makanan kucing tersebut, hanya perlu basuh dengan air mutlak seperti biasa. Betul ya?
2. Kadang-kadang saya ada membasuh mangkuk makanan kucing di sinki dapur atau lap mangkuk makanan kucing menggunakan tisu dan tisu tersebut (basah) dibuang ke dalam sinki dapur. Saya berasa was-was samada kemungkinan tisu itu atau percikan air sudah bersentuhan dengan semua pinggan mangkuk, sudu garfu, periuk etc (dan kemungkinan satu rumah). Jadi perlukah sertu dilakukan jika saya baru sedar tentang kewujudan babi didalam makanan kucing tersebut setelah sekian lama?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Sekiranya dapat dipastikan secara yakin bahawa makanan kucing tersebut mengandungi babi seperti yang dinyatakan pada label pembungkusnya, maka mana-mana bahagian yang terkena makanan tersebut hendaklah disertu. Caranya adalah dengan membasuh bahagian yang terkena itu sebanyak tujuh kali iaitu satu daripada basuhan tersebut menggunakan air mutlak yang bercampur tanah manakala enam basuhan lagi menggunakan air mutlak.
Tidak perlu menyertu semua perkakas dan kawasan rumah hanya kerana rasa was-was bahawa tisu atau percikan air basuhan bekas makanan kucing mungkin telah terkena pada perkakas lain. Memadai menyertu bekas makanan kucing yang terkena makanan tersebut sahaja. Jika masih ingin memberikan makanan kucing yang mengandungi babi tersebut sebaiknya basuhlah bekas makanan itu di kawasan luar rumah, bukan di sinki dapur. Sangkaan bahawa tisu atau percikan air basuhan telah terkena pada perkakas lain hanyalah andaian semata-mata dan hendaklah diabaikan. Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan membuang tisu yang digunakan untuk membersihkan sisa makanan kucing ke dalam sinki supaya tidak bercampur dengan perkakas yang lain.
Sekian, terima kasih.