BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, saya ingin bertanya.

Semasa saya mandi wajib atau sebelum mengambil wudhuk, saya akan bersihkan bahagian bawah kuku daripada kotoran. Setelah selesai solat, saya periksa bawah kuku ada terdapat bendasing warna putih atau seperti kulit mati yang saya tidak berapa nak pasti. Saya menganggap ia tidak halang air kerana ia sedikit sahaja. Bolehkah saya anggap ia tidak halang air kerana bendasing itu sedikit dan wudhuk atau mandi wajib saya sah?

Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk soalan yang diajukan, bendasing atau kotoran kuku yang tidak disedari ketika mandi wajib dan bukan berupa lapisan tebal yang secara pasti menghalang air daripada sampai ke kuku, tidak menyebabkan mandi wajib seseorang menjadi tidak sah. Dalam melaksanakan mandi wajib ini, para ulama’ telah menetapkan bahawa rukun bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat.
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.

Oleh itu, puan disarankan agar lebih teliti ketika mandi wajib dengan memastikan air sampai ke seluruh anggota badan, termasuk bahagian yang tersembunyi serta setiap celahan yang mungkin terdapat kotoran yang menghalang air daripada mengenainya. Langkah ini bukan sahaja memastikan mandi wajib dilaksanakan dengan sempurna mengikut syarak, malah dapat mengelakkan timbulnya perasaan was-was ketika menunaikan ibadah harian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 32

message user image