Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti, saya ingin bertanya berkenaan kesucian.
Selepas mandi wajib, ada jerawat sedikit pecah lalu saya picit untuk keluarkannya. Saya sapu dengan tisu dan ambil wudhuk untuk terus solat. Adakah mandi wajib sah walaupun saya tidak sambung mandi semua untuk ratakan air pada bahagian jerawat yang sudah pecah?
Kedua, selepas kencing saya kepit sedikit bahagian kemaluan lalu ada air keluar. Air itu jernih dan keruh sedikit. Ada rasa kemutan sedikit. Air itu licin dan rasa kasar atau kesat sedikit mungkin disebabkan kulit saya. Adakah itu air wadi?
Sekarang saya solat seperti biasa cuma ada perasaan was was terhadap kesucian. Saya ingin mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Mandi wajib tuan adalah sah. Jerawat yang pecah selepas selesai mandi wajib tidak menjejaskan kesahan mandi tersebut. Oleh itu, tuan tidak perlu mengulangi atau menyambung mandi wajib semata-mata untuk meratakan air pada bahagian jerawat yang pecah kerana perkara tersebut tidak berkaitan dengan kesahan mandi wajib.
Ya, air yang tuan sifatkan tersebut merupakan air wadi. Air wadi ialah cecair berwarna putih, pekat dan kental yang lazimnya keluar dari kemaluan selepas membuang air kecil atau selepas mengangkat benda yang berat. Air wadi menyebabkan wuduk terbatal kerana ia termasuk hadas kecil dan ia juga dikategorikan sebagai najis. Oleh itu, bahagian anggota badan atau pakaian yang terkena air wadi hendaklah dibersihkan sebelum menunaikan solat.
Sekian, terima kasih.