BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah,

Saya ada kemusykilan.

Saya dah solat selama 5 hari guna telekung yang saha khaskan di pejabat. Saya solat zuhur & asar di pejabat menggunakan telekung tersebut.

Sepanjang 5 hari , saya langsung tak perasan ada najis burung bahagian dalam telekung, di mana saya dah gunakan untuk solat Zuhur & Asar. 

Perlukah saya qada semula solat Zuhur & Asar selama saya gunakan telekung tersebut?

Jazakallahhu khairan. 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menurut mazhab Syafi’i, najis burung adalah termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Secara umumnya, najis burung tergolong dalam kategori najis yang tidak boleh dimaafkan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Syafi’I di dalam karyanya:

لَمْ يُعْفَ عَنْ الزَّرْقِ فِي الثَّوْبِ وَالْبَدَنِ

Maksudnya: Tidak dimaafkan najis burung yang ada pada pakaian dan badan.

Rujukan: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj.

Oleh yang demikian, najis tersebut hendaklah dibersihkan sehingga hilang zat najis (bau, warna, dan rasa), barulah ia dianggap suci. Adapun solat yang telah dikerjakan sebelum mengetahui kewujudan najis burung tersebut perlulah diqada’. Ini berdasarkan dalil:

(ولو صلى بنجس) أي: غير معفو عنه (لم يعلمه .. وجب القضاء في الجديد) سواء في ذلك البدن والثوب والمكان؛ لأنها طهارة واجبة، فلا تسقط بالجهل كطهارة الحدث

Maksudnya: Sekiranya solat menunaikan solat dalam keadaan terdapat najis yang tidak dimaafkan, sedang dia tidak mengetahuinya, maka dia wajib mengqada’kan solat menurut pendapat yang jadid. Hukum ini meliputi najis yang terdapat pada badan, pakaian atau tempat. Ini kerana bersuci daripada najis merupakan suatu kewajipan. Bahkan (kewajipan tersebut) tidak gugur disebabkan kejahilan sebagaimana kewajipan untuk bersuci daripada hadas.

Rujukan: Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj.

Untuk itu boleh disimpulkan bahawa , merujuk kepada pandangan majoriti ulama, termasuk Mazhab Syafie, solat yang puan tunaikan dengan memakai telekung bernajis tanpa disedari adalah tidak sah. Oleh itu, puan perlu mengqada' semula solat Zuhur dan Asar yang telah anda lakukan selama 5 hari tersebut. Ini adalah langkah berhati-hati untuk memastikan ibadah puan sempurna mengikut tuntutan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 33

message user image