Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Adakah jika kita menganggap sesuai itu seperti Arak meskipun itu bukan Arak, perkara / makanan / minuman tersebut akan jadi seperti Arak dan haram dimakan/diminum? Kerana saya ada mendengar seseorang berkata seperti tersebut.
Jika betul, adakah babi juga sama? Contohnya, bila dianggap makanan yang halal sebagai babi (dengan tujuan sengaja atau bermain-main), maka makanan tersebut akan jadi babi? Macam mana kalau saya tidak mahu pun tapi disebabkan saya was-was dan overthinking saya teranggap makanan tersebut babi dan saya tak boleh patah balik kalau ia dah jadi babi?
Maafkan saya. Doakan saya cepat sembuh. Terima kasih
Jawapan
Terdapat perincian mengenai isu menganggap sesuatu makanan yang halal sebagai salah satu makanan yang haram. Jika yang dimaksudkan adalah menjadikan sesuatu makanan yang sememangnya halal seperti daging ayam, sehingga menyerupai daging khinzir dari sudut rasa, tekstur, rupa atau pengalaman memakannya, maka perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan dan boleh dihukum haram apabila ia bertujuan meniru atau mensimulasikan makanan yang diharamkan oleh syarak. Keharaman ini bukan kerana zat daging ayam itu sendiri, tetapi berdasarkan pertimbangan fiqh ma'alat (melihat kepada kesan dan natijah sesuatu perbuatan) serta kaedah sadd al-zari'ah, iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang. Perbuatan ini dikhuatiri boleh menormalisasikan budaya memakan makanan yang diharamkan, menghakis sensitiviti terhadap larangan syarak serta membawa kepada sikap reda atau memandang ringan terhadap perbuatan maksiat.
Begitu juga sekiranya seseorang sengaja membayangkan atau menganggap makanan yang halal, seperti daging ayam, sebagai daging khinzir ketika memakannya bagi memperoleh pengalaman seolah-olah sedang memakan khinzir atau sedang minum arak maka perbuatan tersebut juga tidak dibenarkan. Walaupun makanan yang dimakan kekal halal pada zatnya, namun niat dan tujuan sedemikian bercanggah dengan semangat syarak yang menuntut umat Islam menjauhi segala bentuk penghormatan, peniruan atau kecenderungan terhadap perkara yang telah diharamkan oleh Allah SWT.
Bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai (syiar) sesuatu kaum (kumpulan) maka dia sebahagian daripada mereka. (Riwayat Abu Daud)
Manakala berkenaan dengan rasa waswas yang keterlaluan sehingga menganggap sesuatu yang halal adalah haram, maka perlu dijauhi rasa waswas tersebut. Perasaan waswas tidak menjadikan sesuatu yang halal menjadi haram kerana secara jelas dan yakin makanan tersebut adalah halal. Oleh itu, dalam situasi ini ia tidak menjadi haram dan harus untuk makan makanan yang halal tersebut.
Sekian, terima kasih.