Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya ingin bertanyakan adakah darah yang keluar bersama lendir seperti darah ikan/lendir ayam dikira sebagai darah haid? Untuk makluman kitaran haid saya tidak menentu. Pada Mei 2026, darah yang keluar adalah seperti berikut;
1. 9-19 Mei 2026 - darah keluar bermula dengan lendir bercampur darah selama 2 hari diikuti darah seperti haid.
2. 23-26 Mei 2026 - darah merah yang cair keluar semula setelah berhenti haid selama 3 hari pada 20-22 Mei 2026.
3. 16&17 Jun 2026 - terdapat darah seperti lendir darah ikan/ayam keluar semasa buang air kecil. Namun tidak berkesan pada pad/seluar dalam. Juga tiada kesan bila dilap dengan tisu.
Persoalannya, adakah darah yang keluar semasa buang air kecil pada 16&17 Jun dikira darah haid?
Jawapan
Secara asasnya, sebanyak-banyak haid ialah 15 hari 15 malam. Darah yang masih keluar melebihi tempoh maksimum haid merupakan darah yang bercampur antara darah haid dan istihadhah. Untuk menentukan darah haid dan istihadhah, terdapat dua kaedah iaitu:
Kaedah Tamyiz: Membezakan darah yang keluar tersebut dengan melihat kepada sifat-sifat yang ada pada darah. Darah yang kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Kaedah ini mesti didahulukan.
Kaedah Adat: Jika tidak dapat membezakan jenis darah atau darah hanya bersifat satu warna sahaja (tiada beza) maka boleh ditentukan menggunakaan adat kebiasaan haidnya dengan merujuk kepada kitaran haid yang paling hampir (bulan sebelumnya).
Apabila telah ditentukan perbezaan darah haid dan istihadhah, maka semasa keadaan haid tidak sah puasa dan solat yang dilakukan. Sebaliknya, apabila istihadhah, hendaklah dia solat dan berpuasa seperti biasa.
Merujuk kepada catatan:
9-19 Mei 2026 darah keluar berwarna merah (10 hari)
20-22 Mei 2026 tiada darah keluar (3 hari)
23-26 Mei 2026 darah keluar berwarna merah cair (4 hari)
Berdasarkan catatan ini, hari yang ke 15 adalah pada 24 Mei 2026. Ini bermakna, telah bercampur darah haid dan istihadhah. Memandangkan dapat dibezakan darah yang lebih kuat (9-19 Mei 2026) maka ia dihukum sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah (23-26 Mei 2026) adalah darah istihadhah.
16 - 17 Jun 2026 adalah waktu imkan haid kerana telah melepasi sekurang-kurang suci 15 hari 15 malam. Oleh itu, darah yang keluar dalam tempoh ini boleh dihukumkan sebagai haid sekiranya mencukupi syarat-syarat haid iaitu cukup 24 jam secara berterusan atau terputus-putus dalam tempoh 15 hari.
Sekian. Terima kasih.