Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Uztaz yang dirahmati Allah,
Saya telah menunaikan haji pada tahun 2008 dimana saya mengalami masalah kencing tak lawas. Empat bulan sebelum pergi haji saya telah cuba mendapatkan rawatan dari pakar (Urologist) namun tidak mendapat kesembuhan. Apa yang bermain dalam fikiran saya adalah bagaimana saya hendak memakai kain ihram dan adakah kain ini menjadi kotor bila terkena air kencing yang tidak kering sepenuhnya. Dalam keadaan biasa, saya akan meletakkan tisu pelapik sebagai alas apabila memakai seluar dalam, dan bila perlu ambil wuduk, saya boleh membasuh kemaluan saya. Jika tidak memakai seluar dalam, bagaimana saya nak meletakkan alas, jadi kain ihram akan sentiasa terkena lebihan air kencing. Berapa banyak kain ihram yang saya perlukan? Sebagai jamaah haji, saya terikat dengan jadual dan pergerakan yang ditetapkan oleh TH.
Masalah ini merupakan perkara yang memalukan untuk berbincang secara bersemuka dengan Pembimbing Haji. Dalam kursus haji, ianya tidak disebut secara terbuka dan ini menyebabkan saya membuat kajian dalam internet. Hasil dari bacaan dan kajian saya, saya dibenarkan memakai seluar dalam dan ini ditulis oleh seorang ahli agama yang saya hormati. (saya cuba cari balik tulisan beliau di dalam internet tetapi sudah tidak boleh di asses sebab jarak masa yang lama). Saya sangat yakin dengan pendapat ini dan tanpa ragu-ragu saya menggunakan kaedah ini, memakai kain ihram dan berseluar dalam sepanjang urusan haji saya. Seingat saya saya membuat Umrah Qudum, beberapa kali umrah (sekurang-kurangnya 4 kali), berihram di Arafah, dalam keadaan memakai seluar dalam ketika berihram. Semasa di Arafah, kain ihram bertukar ganti dan saya tetap memakai seluar dalam. Saya sangat yakin dengan apa yang saya lakukan ini iaitu ianya dibenarkan.
Pada tahun 2018 saya mengerjakan umrah dan saya mencari kaedah yang terbaik untuk masalah ini, dan pada masa itulah saya terbaca tentang ‘cawat ihram’ sebagai pengganti seluar dalam. Pada tahun 2008, inovasi ini belum wujud lagi. Tiba2 saya rasa sangat risau dengan ibadah haji, adakah ianya diterima.
Soalan:
1. Bagaimana dengan ibadah haji saya dengan saya berikhram dengan memakai seluar dalam. Berapakah dam yang perlu dibayar. dengan mengambil kira berapa kali saya malakukan umrah dan wukuf. Apakah yang perlu saya lakukan. Insyaallah pada masa ini saya mampu untuk membayar dam walau sebanyak mana dengan menjual aset-aset saya.
2. Sekiranya saya berpeluang mengerjakan haji sekali lagi (pakej mujamalah), adalah haji ini haji sunat atau haji wajib?
Perkara ini sentiasa bermain dalam fikiran. Sepatutnya saya perlu bertanya terus dengan pegawai agama TH pada tahun 2008. Semoga Allah ampun kan dosa saya.
Terima kasih di atas jawapan yang diberikan.
Jawapan
Berkenaan persoalan yang diajukan, haji tuan pada tahun 2008 adalah sah. Memakai seluar ketika dalam keadaan ihram adalah perbuatan yang dilarang bagi lelaki kerana termasuk dalam kategori pakaian berjahit yang mengikut bentuk anggota, tetapi ia tidak membatalkan haji atau umrah. Larangan ihram yang dilanggar hanya mewajibkan dam jika cukup syarat. Dalam larangan ihram juga dinyatakan bahawa bagi jenis taraffuh (berhias/pakaian):
Keadaan tuan lebih hampir kepada kategori jahil atau tidak sengaja kerana tindakan tersebut dilakukan berdasarkan pandangan yang diperoleh daripada seorang ustaz, dan bukannya dengan niat sengaja melanggar larangan ihram yang diketahui hukumnya. Oleh itu, haji yang telah ditunaikan dikira sebagai haji wajib yang sah dan tidak dikenakan dam. Hal ini kerana perbuatan tersebut tergolong dalam larangan jenis taraffuh (berhias atau memakai pakaian tertentu) serta dilakukan tanpa unsur kesengajaan. Sekiranya tuan berpeluang menunaikan haji sekali lagi pada masa akan datang, maka haji tersebut dikira sebagai haji sunat.
Sekian, terima kasih.