BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum

 

Saya ingin bertanya mengenai hukum.   Saya memelihara kucing.   Kucing itu jatuh sakit kerana penyakit barah dan telah disahkan oleh doktor.   Keadaan kucing saya semakin hari tidak baik.  Doktor ada mencadangkan pilihan terakhir iaitu menidurkan atau mematikan kucing untuk menghentikan kucing itu terus menderita sakit.   Apakah perkara ini dibenarkan syarak kerana terpaksa dan tidak ada peluang untuk sembuh?   Adakah perbuatan itu haram dan berdosa?    Saya mohon pihak Tuan membantu dalam perkara ini.   Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam menetapkan prinsip ihsan pada semua perkara, termasuk terhadap haiwan. Hukum asal euthanasia adalah haram kerana dianggap satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa. Jika masih boleh dirawat dan dijaga, maka hendaklah merawatnya. Namun, mengambil kira keadaan haiwan di mana membiarkan haiwan yang kritikal lebih membawa kepada kesakitan dan kezaliman berbanding melakukan euthanasia terhadapnya, maka euthanasia dibolehkan. Hal ini mengikut kaedah fiqh 

الأخذ بأخف الضررين

Maksudnya: Mengambil (memilih) mudarat yang lebih ringan di antara dua kemudaratan.

Dalam sesetengah kes, membiarkan haiwan yang sedang dalam kritikal tanpa dibunuh adalah lebih menyeksakan haiwan tersebut berbanding dengan melakukan euthanasia terhadapnya. Apatah lagi jika ia penjagaan dan rawatarn terhadapnya memerlukan kos yang amat tinggi. Dalam kes seperti ini, pandangan yang mengharuskan euthanasia terhadap haiwan yang sedang nazak atau kritikal boleh diguna pakai berdasarkan pertimbangan bahawa kemudaratan membiarkannya hidup lebih besar daripada kemudaratan melakukan euthanasia.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image