Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ada beberapa soalan.
1. Saya dapat rasa ada kelembapan di bahagian kemaluan ketika tidur. Tapi bila check pantyliner, saya tak nampak kesan air kencing (tiada warna kuning), tiada juga lendir, hanya lembab sahaja. Apakah itu cecair keputihan? Adakah pakaian saya kotor dan bernajis? Katil saya juga bernajis ke?
2. Situasi kedua jika rasa macam ada cecair keluar dan turut ada lendir, itu dikira najis ke? kalau pakai pantyliner dan saya tak nampak kesan di atas seluar dalam, adakah boleh saya bawak pakaian saya ke solat?
3. Apa hukum duduk di tempat yang telah diduduki oleh orang yang memakai pampers, dimana saya tak pasti ada kebocoran atau tidak. Tidak sempat bau mahupun lihat ada basah atau tidak, tapi rasa risau sekiranya memang ada basah. Jadi apa hukumnya? adakah dikira najis? kalau ya, bagaimana hendak membasuhnya?
4. Benarkah cecair yang keluar dari kemaluan, sekiranya tiada lendir, dikira tidak najis? cecair keputihan yang keluar dan berlendir baru dikira najis?
5. Kadang2 saya bangun dengan kesan basah di katil, saya yakin saya tidak terkencing kerana tiada kesan dipantyliner tapi hati tetap ada rasa khuatir bagaimana sekiranya saya terkencing. Apa yang saya perlu lakukan? Tukar cadar atau abaikan saja?
6. Adakah masih dikira najis kalau kita tk pasti terkena najis. Contohnya ketika guna tandas awam, terasa macam ada air kencing yang melantun kena paha (tandas duduk). Perlu basuh paha ke? Ataupun itu andaian sahaja? Walaupun rasa ada air terpercik dari lubang jamban melantun ke bahagian paha yang menghadap bahagian dalam lubang jamban tersebut.
Terima kasih, saya harap mendapat jawapan daripada beberapa pertanyaan saya. Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Bukan semua cecair yang keluar melalui faraj wanita dihukumkan najis. Perlu difahami bahawa keputihan terbahagi kepada dua iaitu suci dan tidak suci. Jenis keputihan yang suci adalah lembapan faraj yang keluar dari bahagian zahir faraj. Manakala keputihan yang tidak suci (najis) adalah keputihan yang keluar dari batin faraj (berbentuk lendiran, berwarna kekuningan atau seumpamanya). Oleh itu, kelembapan tersebut hanyalah lembapan faraj kerana telah dipastikan bahawa ia bukan air kencing mahupun lendiran. Justeru, pakaian dalam yang dipakai hanya kotor tetapi tidak bernajis.
Ya, jika dapat dipastikan wujud lendiran, maka ia merupakan keputihan dari kategori tidak suci. Pantyliner perlu dibuang. Pakaian dalam yang diyakini tidak terkena lendiran tersebut adalah suci dan boleh dipakai ketika solat.
Perlu difahami bahawa hukum asal bagi sesuatu adalah suci. Dalam situasi ini, keraguan semata-mata terhadap kemungkinan lampin (pampers) bocor tidak menyebabkan tempat tersebut dihukumkan sebagai bernajis. Selagi tiada bukti yang jelas seperti kewujudan ‘ain najis, maka tempat tersebut kekal dihukumkan suci. Sehubungan itu, tiada sebarang halangan untuk duduk di tempat berkenaan. Seseorang juga tidak dituntut untuk menghidu atau memeriksa sehingga ke tahap memastikan sama ada kawasan tersebut basah atau sebaliknya. Memadai jika najis itu dapat dipastikan melalui kewujudan ‘ainnya secara nyata.
Ya. Sila rujuk jawapan nombor 1.
Abaikan sahaja kesan basah tersebut kerana puan telah yakin bahawa ia bukan air kencing dan tiada kesan di pantyliner. Hukum kembali kepada asal iaitu jika sesuatu tidak dapat dipastikan, maka ia kekal suci. Kaedah menyatakan bahawa:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Perlu benar-benar faham bahawa umat Islam hanya dituntut untuk membersihkan sesuatu daripada najis apabila yakin wujud dan lihat jelas 'ain najis. Dalam situasi puan, air yang melantun tersebut jelas dari takungan mangkuk tandas. Oleh itu, anggota badan yang yakin terkena percikan air dari dalam takungan mangkuk tandas itu tadi perlu dibasuh kerana takungan air adalah mutanajjis.
Sekian, terima kasih.