Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...saya ingin bertanya..jika saya tidak sempat menyelesaikan puasa ganti ramadhan pada tahun ini sebelum mengerjakan umrah kali pertama..situasinya saya mengandung dan saya tidak mampu untuk mengantikan puasa pada tahun ini yang saya tinggalkan tanpa sengaja.apakah hukum mengenai hal ini?
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, puasa Ramadhan yang ditinggalkan perlu diganti mengikut kadar hari yang ditinggalkan. Sekiranya puasa tersebut tidak diganti sehingga tiba Ramadhan yang akan datang, maka puan tetap perlu menggantikan puasa tersebut diiringi dengan bayaran fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Diriwayatkan daripada Maimun bin Mihran RA daripada Ibn Abbas RA mengenai seorang lelaki yang didatangi Ramadhan sedangkan dia masih mempunyai hutang puasa Ramadhan yang lalu, beliau berkata:
Maksudnya: Dia hendaklah berpuasa Ramadhan yang sedang dihadapinya ini, kemudian memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya pada Ramadhan yang lalu, dan hendaklah dia menggantikan puasa tersebut. (Riwayat al-Baihaqi)
Menggantikan puasa Ramadhan tidak terkait dengan ibadah umrah kerana kedua-duanya adalah ibadah yang tersendiri.
Sekian, terima kasih.