Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya.
Jika seorang fakir miskin telah mendapat daging korban tetapi ia ingin menjualkan daging korban sebab ia memerlukan duit. Adakah di boleh untuk menjual daging tersebut.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, apabila daging korban telah diserahkan kepada fakir miskin, daging tersebut menjadi hak milik mereka sepenuhnya. Oleh itu, mereka berhak menggunakannya mengikut keperluan seperti memakannya, menghadiahkannya atau menjualnya.
Antara dalil yang menunjukkan bahawa daging korban diberikan sebagai milik kepada fakir miskin ialah firman Allah SWT:
"Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir."
(Surah al-Hajj: 28)
Selain itu, para ulama menjelaskan bahawa bahagian yang diberikan kepada fakir miskin adalah hak mereka. Wahbah Sheikh al-Zuhaili menyatakan:
"Ia adalah untuk fakir miskin, dan orang kaya tidak mempunyai hak padanya."
Berdasarkan prinsip pemilikan ini, larangan menjual daging korban hanya dikenakan kepada orang yang berkorban dan penerima selain fakir dan miskin. Adapun bagi fakir dan miskin yang menerima daging korban, diharuskan bagi mereka menjual daging tersebut sekiranya memerlukan wang atau mempunyai keperluan lain, kerana daging itu telah menjadi milik mereka secara sah menurut syarak.
Sekian. Terima kasih.