Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Saya membaca akhbar Berita Harian yang menunjukkan sebahagian penumpang kereta api komuter menunaikan solat Subuh secara berjemaah dalam perjalanan mereka ke pejabat. Saya tahu untuk solat sunat, tidak ada masalah menunaikan solat sunat di atas kenderaan, tetapi bagaimana pula dengan solat fardu? Apakah cukup untuk memastikan kita mengadap Kiblat ketika mengangkat takbiratul ihram sahaja sedangkan sepanjang solat itu, pergerakan kereta api komuter akan berubah-ubah, sekaligus menyebabkan dada kita tidak lagi mengadap Kiblat.
2. Bagaimanakah jika kita dapati ruang solat di pejabat tidak menepati arah Kiblat selepas menggunakannya sejak sekian lama. Kami sebenarnya tak hanya mengikuti sahaja arah sejadah kerana cuba menentusahkan dengan menggunakan aplikasi penentu arah kiblat dalam telefon. Bagaimanapun, selepas sekian lama, pihak falak datang memeriksa arah kiblat itu dan mendapatinya tersalah secara ketara. Soalan saya, apakah kedudukan solat-solat fardu yang dilaksanakan sebelum ini?
3. Bagaimana pula solat fardu yang dilaksanakan dengan Kiblat tersalah. Ketika solat atau selepas solat, ada yang memberitahu kiblat tersalah. Sekiranya dalam solat, apakah kita wajib menghentikan solat dan melakukan solat yang baharu atau hanya berpaling kepada arah yang betul? Dan bagaimana pula kalau kita sudah selesai memberi salam, apakah kita perlu mengulangi solat itu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, tiga soalan yang dikemukakan ini menyentuh tiga keadaan penting berkaitan arah kiblat dalam solat fardu.
Solat fardu wajib dilakukan dengan menghadap kiblat sepanjang solat, bukan hanya ketika takbiratul ihram. Jika berada di kenderaan yang bergerak seperti kereta api atau kapal terbang, hukum asal ialah tidak sah solat fardu jika tidak menghadap kiblat sepanjang solat. Namun, jika benar-benar darurat contoh di dalam kereta api dengan keadaan takut luput waktu, tiada ruang untuk bersolat, maka boleh solat di atas kenderaan dengan syarat. Menghadap kiblat ketika takbiratul ihram. Teruskan solat mengikut kemampuan walaupun arah berubah. Selepas itu, jika masih ada waktu dan ada ruang solat yang betul, wajib ulangi solat.
Kesilapan salah arah kiblat yang berlaku tanpa disedari atau tidak tahu, solat yang telah dilakukan sebelum ini tetap sah kerana dilakukan dengan ijtihad (usaha mencari arah kiblat) dan sangkaan kuat. Maka solat-solat yang telah dilakukan sebelum ini tidak perlu diulang.
Ketika dalam solat dan diberitahu arah kiblat salah, wajib segera berpaling ke arah kiblat yang betul dan teruskan solat. Tidak perlu berhenti atau ulang dari awal. Namun jika selepas selesai solat baru tahu arah kiblat salah dengan jarak selisih yang ketara, perlu diulangi solat. Jika hanya sedikit tersalah iaitu hanya selisih beberapa darjah, solat tetap sah kerana kiblat adalah arah Kaabah.
Sekian, terima kasih.