Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Syarikat saya bekerja ada membuat jadual solat Jumaat secara bergilir kerana pekerja perlu standby dikawasan mereka bertugas. Contohnya, pekerja A akan menunaikan solat Jumaat pada minggu pertama dan ketiga, manakala pekerja B akan menunaikan solat Jumaat pada minggu kedua dan keempat. Pengurusan syarikat bertindak melakukan practice ini untuk mengelakkan pekerja tidak solat Jumaat secara 3 kali berturut-turut. Adakah practice ini dibenarkan dalam Islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, isu ini melibatkan solat fardhu Jumaat yang merupakan kewajipan bagi setiap lelaki Muslim yang baligh, bermukim dan tidak mempunyai uzur syar‘i , berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu'ah ayat 9:
Wahai orang-orang yang beriman. Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat fardhu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),
Uzur syar‘i termasuk sakit, musafir atau keadaan darurat. Tugas atau pekerjaan pada asalnya tidak termasuk dalam kategori uzur syar‘i kecuali jika tugas tersebut melibatkan keselamatan nyawa, harta atau kepentingan kritikal seperti polis, bomba, petugas kesihatan.
Sekiranya tiada pilihan lain, syarikat boleh membuat jadual tugasan secara bergilir dengan syarat hanya melibatkan jumlah pekerja paling minima ketika solat fardhu Jumaat dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.