BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

*Maaf sbb send soalan ni lagi.. saya lupa nak tambah sesuatu*

Assalamualaikum... Tadi saya ada jumpa satu berus yang di syaki seperti bulu babi dalam rumah. Saya ada cuba uji berus tersebut dengan ujian bakar dalam rumah. Saya ada cuba bakar sehelai rambut saya dulu untuk test bau dan picit. Kemudian saya cuba dekat berus itu pula. Saya picit bahagian bakar itu menggunakan plastik untuk elakkan daripada bersentuhan dengan berus itu, dan untuk elakkan debu bakar itu jatuh ke lantai. Terdapat sedikit kesan hitam dekat bahagian atas tangan saya, namun saya tidak pasti kalau itu dari rambut, atau dari berus itu, kerana saya sudah cuba untuk lapis guna plastik kecil. Lalu saya hanya basuh tangan saya menggunakan air sahaja kerana kesan hitam itu ibarat debu kering. Saya juga memegang pemegang berus kayu menggunakan tangan sahaja. Selepas ujian bakar itu, saya yakin yang itu adalah berus babi. 

 

1)Persoalannya, adakah tangan saya dikira najis? Adakah saya perlu sertu? Sekiranya(contoh saja), debu hitam itu adalah bekas bakar bulu babi itu, adakah tangan saya dikira najis, especially selepas saya hanya basuh guna air seperti mencuci tangan?(Namun saya cuba yakinkan diri saya bahawa kesan debu hitam itu bukan bulu babi kerana saya lapis tangan guna plastik kecil).

2)Adakah tangan saya dikira najis? Kerana selepas saya picit debu itu guna plastik, saya cuba untuk adjust plastik itu supaya debu bakar itu tidak terjatuh.

3)Adakah saya perlu sertu lantai juga? Saya tidak pasti sekiranya ada debu jatuh terkena lantai. 

4) Adakah meja saya dikira najis dan perlu di sertu? Kerana saya pernah nampak berus itu atas meja saya. Namun dalam keadaan kering. Orang yang guna berus itu hanya guna berus tersebut untuk buang debu rumah. Jadi adakah rumah saya perlu disertu? 

Mohon pencerahan. Maklumat/info tambahan juga boleh tambah :D. Terima kasih :'). Maaf sebab panjang sangat...

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام رحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu difahami ialah sesuatu hukum tidak ditetapkan hanya berdasarkan syak, sangkaan atau uji kaji yang tidak pasti ketepatannya dan tidak disahkan oleh ahlinya. Kaedah fiqh menyebutkan bahawa hukum asal sesuatu benda adalah suci selagi tidak ada bukti yang jelas dan meyakinkan bahawa ia diperbuat daripada najis atau terdapat padanya najis seperti bulu babi.

Perbuatan membakar apa-apa bulu berus bukanlah kaedah yang muktabar dan belum tentu mencapai tahap yang yakin untuk mengesahkan bahawa ia diperbuat daripada bulu babi. Jika tiada label, pengesahan atau bukti yang jelas, maka tidak wajar untuk terus menghukum sesuatu itu bersumber daripada babi. Perbuatan dan sangkaan tersebut hanya akan membawa kepada waswas dan menyusahkan diri sendiri. Umat Islam tidak dituntut untuk menyiasat asal setiap bulu atau berus yang digunakan kecuali jika benar-benar sudah diketahui dan diyakini ia daripada babi. Justeru:

  1. Tiada najis yang diyakini terkena pada tangan puan. Oleh itu, tangan puan tidak dihukum sebagai terkena najis dan tidak perlu disertu. Hal ini kerana tidak dapat dipastikan secara yakin bahawa berus tersebut diperbuat daripada bulu babi.

  2. Tangan saudari juga tidak dihukum najis hanya kerana memegang atau membetulkan plastik tersebut. Ini kerana tiada kepastian bahawa kotoran tersebut daripada mana.

  3. Begitu juga lantai tidak perlu disertu. 

  4. Meja dan rumah juga tidak dihukumkan terkena najis dan tidak perlu disertu. Ini kerana mengambil hukum yang asal bahawa sesuatu itu suci sehingga ada bukti yang yakin. Justeru, tidak wajar mengatakan bahawa rumah juga turut dihukumkan terkena najis hanya berdasarkan syak dan kebimbangan yang tidak pasti.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 26

message user image