Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti Selangor.
saya mempunyai masalah besar di mana, saya rasa malas nak solat dan al quran.
Saya tak nak paksa diri sbb paksa diri yang membawa saya kepada mengamalkan islam secara paksa. Bnyk video ceramah yang saya jumpa, lagi-lagi asatizah di Malaysia. Kalau asatizah negara lain especially dkt negara western menggunakan pendekatan yang lebih lembut when it comes to solat.
Saya rasa teruk sngt dgn diri sendiri. Puasa tahunan pun ala kadar. Pengetahuan saya tentang islam agak indepth tidak in breath.
Berikut adalah soalan saya:
1)Orang selalu cakap "solat memang perlu dipaksa"pada saya agak counter intuative dengan surah al baqarah ayat 256. Boleh terangkan lebih mendalam dan gunakan contoh yang saya boleh relate dalam dunia masa kini. Saya buntu untk bawa saya keluar dari this slump.
2) apakah cara solat di negara yang bukan islam? Bila tempat untk solat tiada? Saya ingin pindah ke negara lain.
3) aaya ada masa akan merasakan pening yang teramat dan tidak mampu untuk solat berdiri. Maka saya akan solat duduk di atas kerusi. Adakah ini dibenarkan? Bnyk masa saya akan sakit tanpa sebab dan saya akn meninggalakn solat semudah itu je.
4) ada masa saya mcm malas sngt, saya solat je tanpa ambil wuduk. I know its wrong, tapi..saya penat melawan rasa tersebut. Is this okay?
feel free to call me whenever selain dari weekend.
please help me.
p/s : mohon jgn publish soalan saya di public. Nama bukan nama sebenar.
yang benar,
milly anuar
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Perlu difahami bahawa firman Allah SWT, "Tiada paksaan dalam agama" (Surah al-Baqarah: 256) tersebut memberikan maksud bahawa Islam tidak dibina atas paksaan untuk seseorang memeluk agama Islam. Namun, setelah seseorang memilih Islam dan meyakini bahawa setiap kewajipan ada kebaikannya di dunia dan di kahirat, maka sebagai hamba kita hendaklah melawan hawa nafsu agar dapat memenuhi tuntutan agama sepenuhnya. Jangan terlalu menghukum diri sekiranya masih bergelut dengan rasa malas. Mulakanlah dengan langkah yang kecil tetapi berterusan, perbanyakkan doa agar Allah SWT menguatkan iman dan hadirkan rasa cinta kepada ibadah, serta carilah lingkungan yang baik untuk saling memberi semangat.
Fahamilah bahawa solat merupakan kewajipan yang paling utama dan antara amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT pada hari akhirat. Oleh itu, keberadaan di negara bukan Islam atau minoriti Islam bukanlah alasan untuk meninggalkan solat kerana bumi ini seluruhnya adalah milik Allah SWT dan rahmat-Nya amat luas kepada hamba yang berusaha mentaati-Nya. Sekiranya tiada masjid atau surau, puan tetap boleh menunaikan solat di mana-mana tempat yang bersih dan sesuai seperti di rumah, tempat kerja atau ruang yang tidak mengganggu orang lain selagi mana memenuhi rukun dan syarat sah solat serta tidak mendatangkan fitnah kepada Islam.
Solat boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu berdiri. Apabila seseorang bimbang akan mengalami kesukaran yang berat atau penyakitnya akan bertambah teruk dan berlaku untuk jangka masa yang lama sehingga dikhuatiri luput waktu solat atau mengalami pening kepala akibat perbuatan berdiri dan bukan sebab yang lain, maka dia dibenarkan menunaikan solat secara duduk dan tidak perlu mengulanginya. Namun, janganlah menjadikan sakit sebagai punca untuk tidak melakukan kewajipan solat. Sebaiknya jika pening beransur hilang dalam tempoh waktu solat tertentu maka sebaiknya laksanakanlah solat seperti biasa.
Solat tanpa wuduk dengan sengaja sedangkan mampu berwuduk adalah tidak sah kerana wuduk merupakan syarat sah solat. Walaupun puan sedang berjuang melawan rasa malas yang kuat, janganlah menjadikan perasaan itu sebagai alasan untuk meninggalkan syarat-syarat solat. Teruskan berusaha sedikit demi sedikit, mohonlah pertolongan daripada Allah SWT. Cubalah dapatkan sokongan daripada ahli keluarga, sahabat atau komuniti Islam di kawasan sekitar agar puan tidak berasa keseorangan. Jika rasa malas itu berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan harian dan ibadah secara berterusan, pertimbangkan juga untuk mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat faktor lain yang memerlukan perhatian ataupun tidak.
Sekian, terima kasih.