Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya patah kaki dan bersimen hingga atas buku lali dan anggota wudhuk kaki tersebut yang nampak hanya jari. Soalan saya boleh kah saya ambil wudhuk seperti biasa dan jari tu sembur spray dan hanya sapu air atas simen sebab sini susah dapat debu tayammum? Dan perlu kah saya qadha solat saya selepas semin di tanggalkan?
Jawapan
Apabila seseorang mengalami kecederaan seperti patah kaki dan bersimen, terdapat kelonggaran dalam syarak berkaitan dengan bersuci (wuduk dan mandi wajib). Hukum asal adalah menggunakan air untuk bersuci, tetapi jika penggunaan air boleh memudaratkan, maka dibolehkan untuk bertayammum atau menyapu air di atas balutan/ simen.
Berdasarkan persoalan yang tuan kemukakan, kaki tuan disimen sehingga melepasi buku lali dan hanya jari-jari kaki yang kelihatan. tuan perlu melakukan perkara berikut:
Maksud: “Membasuh dengan air pada anggota wuduk yang sihat, dan menyapu air pada balutan”
Jika terdapat anggota wuduk yang tidak dapat dibasuh kerana luka atau balutan, pada asalnya perlu dilakukan tayammum bagi menggantikan bahagian tersebut, di samping membasuh anggota yang mampu dibasuh dan disyaratkan menyapu balutan. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pendapat ini di sisi Mazhab Syafi’i dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:
Maksud: “Bahawasanya Mazhab Syafi’i (dalam qawl mereka yang azhar) menggabungkan antara sapuan di atas balutan dan tayammum, maka anggota wuduk yang sihat dibasuh, anggota yang berbalut disapukan dengan air dan diwajibkan juga bertayammum”
Namun, jika tuan benar-benar tidak dapat bertayammum kerana tiada debu yang sesuai atau tiada kemampuan mendapatkannya, maka tuan boleh menunaikan solat mengikut kemampuan yang ada. Allah SWT berfirman:
Maksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya" (Surah al-Baqarah: 286)
Mengenai kewajipan qadha selepas sembuh, sekiranya balutan dipasang dalam keadaan tidak berwuduk, solat semasa sakit tersebut perlu diqadha sepertimana yang disebut oleh Al-Nawawi dalam Al-Majmu’:
Maksud: “Yang sahih dan masyhur dalam Mazhab Syafii adalah memasang balutan wajib dalam keadaan berwuduk secara mutlak”
Walau bagaimanapun, atas sebab dharurah, boleh mengikuti pendapat mazhab lain dan ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Panduan Bersuci dan Bersolat bagi Pesakit yang boleh diakses melalui https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf
Sekian, terima kasih.