Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
saya ingin bertanya.Berdosakah seorang suami menberi minyak pengasih untuk isteri?minyak itu dari bacaan ayat al-quran.untuk mengembalikan keharmonian rumahtangga.minyak itu dibuat oleh perawat perubatan islam.ini adalah ikhtiar untuk rumahtangga.adakah berdosa?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perlulah diketahui bahawa ‘minyak pengasih’ ini menyerupai istilah al-Tiwalah. Dari segi definisinya, al-Tiwalah merujuk kepada sesuatu yang digunakan untuk membuatkan seseorang mencintai orang lain. Ianya boleh diklasifikasikan juga sebagai minyak pengasih atau azimat atau tangkal. Kebiasaannya digunakan oleh pasangan suami isteri. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin al-Jazzar RA jelas disebutkan:
Maksudnya: Sesungguhnya ruqyah (jampi mentera yang mengandungi unsur syirik), tangkal atau azimat serta al-tiwalah adalah sebahagian daripada syirik.
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Adapun ruqyah yang yang dibenarkan di dalam Islam adalah diambil daripada ayat suci al-Quran, doa-doa yang ma’thur daripada hadis Nabi SAW serta zikir-zikir yang sahih periwayatannya dan perlulah disertai dengan keyakinan yang penuh bahawa hanya Allah SWT yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit.
Perbezaan di antara ruqyah dan sihir atau tiwalah adalah terletak pada niat, kaedah dan keyakinan. Ruqyah syar’iyyah melibatkan pergantungan dan keyakinan sepenuhnya hanya kepada Allah SWT. Sementara sihir atau al-tiwalah melibatkan unsur syirik, kebergantungan selain daripada Allah SWT, menggunakan kaedah yang samar serta kadang kala melibatkan jin dan syaitan.
Sebagai rumusan, sekiranya ‘minyak pengasih’ yang digunakan hanya mengandungi bacaan ayat-ayat al-Quran yang sahih dan digunakan sebagai ikhtiar ruqyah dengan penuh keyakinan bahawa kesembuhan itu datangnya daripada Allah SWT semata-mata, maka ia adalah diharuskan. Sekiranya percaya kepada kuasa minyak itu sendiri atau mengandungi unsur-unsur yang tidak jelas dan boleh menjurus kepada sihir atau syirik maka ia adalah haram dan berdosa. Justeru, adalah lebih baik untuk suami isteri berusaha mengembalikan keharmonian rumah tangga melalui cara-cara yang jelas disyariatkan seperti komunikasi yang baik, nasihat, doa dan sekiranya perlu, dapatkan bantuan kaunseling Islam.
Sekian, terima kasih.