Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
mana perlu diutamakan: berpuasa sexara berterusan pada 9 hari pertama bulan Zulhijjah atau memenuhi undangan walimatulurus dalam salah satu hari daripada sembilan hari pertama itu (tidak berpuasa pada hari itu)?
Jawapan
Berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah adalah satu amalan sunnah yang sangat digalakkan, terutamanya pada Hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah). Walau bagaimanapun, menghadiri undangan walimatulurus (kenduri kahwin) juga mempunyai hukumnya tersendiri dalam Islam.
Para fuqaha sepakat tentang sunnahnya berpuasa pada lapan hari pertama Zulhijjah sebelum Hari Arafah, berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a.
Bermaksud:
Tidak ada hari-hari yang amalan soleh padanya lebih dicintai oleh Allah melainkan hari-hari ini - iaitu sepuluh hari (pertama Zulhijjah)'. Mereka bertanya: 'Wahai Rasulullah, tidak juga jihad di jalan Allah?' Baginda menjawab: 'Tidak juga jihad di jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya, lalu tidak kembali dengan sesuatu pun daripadanya (syahid)'.
(Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi -lafaz di atas adalah lafaz al-Tirmizi- , Abu Daud, Ibn Majah)
Hukum menghadiri undangan walimatulurus adalah wajib secara fardhu ain bagi setiap orang yang dijemput, berdasarkan hadis Nabi SAW.
Bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu dijemput ke walimah, maka hendaklah dia menghadirinya.' Dan dalam lafaz lain: 'Sahutlah undangan ini apabila kamu dijemput kepadanya'.
(Riwayat: Muslim)
Untuk itu ingin dinyatakan bahawa apabila berlaku pertindihan antara dua amalan sunat, keutamaan diberikan kepada amalan yang mempunyai kesan sosial yang lebih besar atau yang melibatkan hak orang lain. Dalam situasi ini, memenuhi undangan walimatulurus adalah lebih utama kerana melibatkan hak orang yang mengundang dan mengeratkan hubungan sosial.
Sekian, terima kasih.