Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Betulkah bahawa orang yang tiba awal di mikrofon untuk melaungkan azan lebih berhak berbuat demikian berbanding orang yang sampai kemudian? Adakah ini menepati hadis Nabi ﷺ mengenai situasi di mana jika orang tahu ganjarannya, orang ramai akan berebut untuk melaungkan azan?
Saya berfikiran bahawa mereka berebut kerana tiba pada waktu yang sama, lalu masing-masing mempunyai hak yang sama. Mohon pencerahan jika saya salah faham. T
جزاك الله خيرا
Jawapan
Orang yang tiba awal di mikrofon untuk melaungkan azan memang mempunyai keutamaan dan lebih berhak berbuat demikian, selaras dengan galakan dalam Islam untuk merebut ganjaran besar yang dijanjikan bagi muazzin. Hadis Nabi ﷺ tentang orang yang berebut untuk azan menunjukkan betapa besarnya pahala amalan ini. Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai mana yang lebih utama antara azan dan imamah, keutamaan untuk melaungkan azan pada awal waktu adalah jelas dan digalakkan.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sekiranya manusia mengetahui kelebihan yang terdapat pada azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak memperoleh cara untuk mendapatkannya melainkan dengan membuat undian, nescaya mereka akan mengadakan undian. Sekiranya mereka mengetahui kelebihan datang awal ke masjid (untuk solat), nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Dan sekiranya mereka mengetahui kelebihan solat Isyak dan solat Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini secara jelas menunjukkan fadilat dan kelebihan melaungkan azan dan kelebihan saf pertama yang dipenuhi dengan keberkatan daripada Allah SWT. Berkenaan dengan persoalan siapa yang sepatutnya melaungkan azan, ia bergantung kepada pihak pengurusan surau atau masjid untuk melantik muazin tetap. Sekiranya suatu surau atau masjid tidak menetapkan muazin, maka sesiapa yang berkesempatan untuk melaungkan azan adalah dibolehkan untuk melaungkan azan. Hadis tersebut bukanlah bermaksud arahan untuk berebut-rebut azan pada suatu-suatu waktu. Akan tetapi sekadar menerangkan betapa besarnya kelebihan azan. Oleh itu, berbincanglah dengan pihak pengurusan surau atau masjid bagi menentukan siapa yang layak dan bersesuaian menjadi muazin.
Ingin juga dijelaskan bahawa masjid dan surau di Malaysia telah pun melantik bilal untuk melaungkan azan pada setiap waktu. Dalam hal ini seorang Bilal yang dilantik adalah lebih utama untuk melaungkan azan di masjid atau surau. Ini adalah untuk menjaga ketertiban dan menghormati pelantikan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa masjid. Walau bagaimanapun, jika bilal yang dilantik memberikan izin kepada jemaah lain untuk melaungkan azan, maka ia dibolehkan. Penting untuk mengutamakan keharmonian dan mengelakkan perselisihan dalam urusan ibadah.
Sekian, terima kasih.