Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada penyakit was was yang teruk dalam bacaan alfatihah. Dulu saya kerap ulang2 bacaan kerana nak sempurnakan makhraj. Tp kini saya sudah tidak mengulangi atas nasihat UAI dengan alasan utk sembuh dari was was. Disini saya dapat atasi was was dgn melawan supaya meyakini apa yg dibaca.
Akan tetapi, masalah seterusnya yg timbul adalah masalah saya baca kuat walaupun saya tak ulang. Kadang2 saya tetap terulang kalau makhraj saya macam tak tepat sgt. Senang cerita kalau dibaca dgn kuat dpt menambah keyakinan utk makhraj betul. Tp bila saya solat berjemaah, saya tak selesa sbb saya tak dpt baca dgn kuat. Walaupun saya cuba baca perlahan, ia tetap menggangu org lain. Apa caranya utk saya baca alfatihah dengan perlahan serta adakah saya perlu fikirkan makhraj dengan terlalu mendalam sampai buat saya stress solat?
Jawapan
Rukun qauli mesti dilafazakan sekira-kira kadar suara dalam bacaan solat dapat didengari oleh diri sendiri sahaja. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Adhkar:
Maksudnya: Ketahuilah bahawa zikir yang disyariatkan dalam solat dan selain dari solat, sama ada yang wajib atau sunat, tidak dikira dan tidak diambil kira melainkan ia dilafazkan sekira-kira dirinya sendiri dapat mendengarnya, jika pendengarannya dalam keadaan baik tanpa ada sebarang halangan.
Apabila saudara membaca bacaan dalam solat dengan suara yang kuat sehingga mengganggu jemaah lain, hukumnya adalah makruh. Oleh itu, saudara hendaklah membaca dalam kadar yang sederhana, iaitu cukup untuk didengari oleh diri sendiri tanpa mengganggu orang lain. Adapun kesalahan dalam bacaan Surah al-Fatihah yang tergolong dalam Lahn al-Khafiy iaitu kesalahan yang tersembunyi seperti bacaan secara ghunnah, syaddah atau madd, maka kesalahan tersebut tidak menjejaskan kesahan solat kerana tidak mengubah makna ayat yang dibaca.
Oleh demikian, saya mencadangkan agar saudara mempelajari dan memperbaiki bacaan al-Quran, khususnya Surah al-Fatihah, dengan mempelajari ilmu tajwid serta berguru dengan guru yang berkelayakan. Usaha ini bukan sahaja dapat memperelok bacaan, malah memberikan keyakinan dan ketenangan ketika menunaikan solat.
Sekian, terima kasih.