Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada beberapa soalan nak bertanya berkenaan dengan patung.
Soalan :
1. Patung berbentuk makanan tetapi mempunyai kaki, tangan dan muka.
2. Patung animasi manusia & haiwan tapi tidak mencukupi anggota badan contohnya hanya kepala dan muka tetapi tiada anggota seperti tangan,kaki dan badan.
Boleh ke patung2 yg diterangkan di atas kita letak sebagai perhiasan di dalam rumah?
Mohon penjelasan,
terima kasih ustaz.
Jawapan
Berkenaan dengan ukiran patung, ia perlu dilihat daripada dua aspek. Aspek pertama sifat patung tersebut. Aspek kedua tujuan ukiran patung tersebut.
Berkenaan dengan aspek pertama, sekiranya patung tersebut sifat fizikalnya adalah sama dan sempurna dengan sesuatu yang hidup sama ada manusia atau haiwan, maka haram mengukir patung sebegini. Sekiranya patung tersebut tidak sempurna sifat fizikalnya iaitu tidak lengkap mana-mana anggota pada patung yang menampakkan ia tidak boleh hidup seperti tiada kepala atau dadanya berlubang, maka diharuskan ukiran patung sebegini.
Berkenaan dengan aspek kedua, sekiranya patung tersebut bertujuan untuk digunakan sebagai sesebuah alat seperti alat permainan kanak-kanak, patung mannequin pakaian atau maskot suatu produk, maka diharuskan mengukir patung sebegini selagi tiada unsur penghormatan atau pemujaan kepada patung. Sekiranya patung tersebut bertujuan untuk dijadikan sebagai perhiasan semata atau ada unsur penghormatan atau pemujaan, maka ia adalah haram sama sekali walaupun patung tersebut tidak sempurna sifatnya.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan, hukum membuat patung berbentuk makanan tetapi mempunyai sifat fizikal seperti bertangan dan berkaki serta membuat patung yang tidak sempurna fizikal sebagai perhiasan semata-mata adalah dilarang.
Sekian, terima kasih.