BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Bolehkan Tuan jelaskan tentang istighazah? Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Terdapat perbincangan dalam kalangan para ulamak mengenai istighasah, iaitu meminta pertolongan kepada orang yang telah meninggal dunia supaya mereka memohon kepada Allah SWT bagi pihak orang yang berdoa. Isu ini adalah perkara khilafiyah yang diperselisihkan oleh para ulama dari sudut hukum dan praktiknya. Khilafiyah sendiri adalah perkara ijtihadiyyah, yang tidak boleh dihukum sebagai bid'ah atau sesat. 

Meminta bantuan kepada orang yang telah meninggal dunia dalam konteks istighasah tidak menafikan pergantungan kepada Allah SWT. Ini kerana hakikatnya, istighasah adalah satu bentuk tawassul di mana permintaan tetap ditujukan kepada Allah SWT melalui perantaraan para solihin, sama ada para nabi, wali atau orang-orang soleh. Segala kuasa dan ketentuan tetap berada dalam kekuasaan mutlak Allah SWT.

Terdapat hadis yang menjadi salah satu dalil keharusan istighasah seperti yang diriwayatkan oleh Malik al-Dar, kata beliau:

 أصاب الناس قحط في زمن عمر فجاء رجل إلى قبر النبي -صلى اللَّه عليه وسلم- فقال: يا رسول اللَّه، ‌استسق ‌لأمتك فإنهم قد هلكوا، فأتى الرجل في المنام فقيل له: إئت عمر فأقرئه السلام، وأخبره أنكم مسقيون، وقل له: عليك الكيس. عليك الكيس فأتى عمر فأخبره فبكى عمر، ثم قال: يا رب لا آلو إلا ما عجزت عنه

Maksudnya: Telah terjadi kemarau yang menimpa manusia pada zaman khalifah Umar al-Khattab. Maka telah datang seorang lelaki ke kubur Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! mintalah diturunkan hujan kepada Allah SWT. Sesungguhnya mereka sedang dalam keadaan kesusahan. Kemudian datang Baginda SAW dalam mimpi lelaki tersebut lalu bersabda: Pergilah berjumpa dengan Umar dan sampaikan salamku kepadanya. Beritahulah kepada mereka bahawa hujan akan turun. Serta katakan kepada Umar supaya sentiasa berhati-hati. Maka lelaki tersebut berjumpa Umar dan memberitahu berita tersebut. Lalu Umar pun menangis lalu berkata: Wahai Allah! Aku tidak akan mengabaikan sesuatu melainkan ia diluar kemampuanku. (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Begitu juga terdapat pandangan ulama yang mengharuskan istighasah kepada orang yang telah meninggal seperti Imam al-Ramli, al-Qustallani dan al-Samhudi. Kata Shihabuddin al-Ramli dalam Fatawa beliau:

بأن ‌الاستغاثة بالأنبياء والمرسلين والأولياء والعلماء والصالحين جائزة وللرسل والأنبياء والأولياء والصالحين إغاثة بعد موتهم، لأن معجزة الأنبياء وكرامات الأولياء لا تنقطع بموتهم

Maksudnya: Sesungguhnya istighasah dengan para nabi dan rasul serta para wali Allah, para ulama dan orang-orang soleh adalah diharuskan. Bagi para rasul dan nabi serta wali-wali Allah dan orang-orang soleh dibolehkan istighasah dengan mereka selepas kewafatan mereka. Ini kerana mukjizat para nabi dan karamah para wali tidak terputus dengan kewafatan mereka.

Berdasarkan keterangan ini, keharusan meminta bantuan (istighasah) kepada orang yang telah meninggal dunia terhad kepada para Nabi, orang soleh dan wali Allah SWT sahaja. Pengamalan istighasah ini juga mestilah mengikut kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image