BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalaamu'laikum Ustaz/Ustazah, saya memohon pendapat Ustaz/Ustazah tentang situasi ini yang menimbulkan was-was pada rumahtangga saya. Moga diberkati Allah.

Untuk makluman Ustaz/Ustazah, saya ada membaca tafsir Al-Quran bersama isteri di sebelah saya. Antara ayat yang kami baca bersama ialah tafsir Ayat 2 surah Al-Mujadilah dalam Bahasa Inggeris yang ada penerangan lafaz zihar: 

'Those among you who make their wives unlawful to them by Zihar (by saying to them "You are like my mother's back"), they cannot be their mothers.'

Pada masa itu memang niat saya hanyalah untuk membaca terjemahan tersebut, tiada niat zihar. Isteri saya perasan saya terberhenti sebentar dan saya ulang tafsir ayat 2 surah Al-Mujadilah tersebut dan menerangkan saya risau kalau ada kesan membaca tafsir tersebut kerana ada contoh lafaz zihar - "You are like my mother's back". Adakah dengan saya membaca tafisr ayat tersebut dengan kuat dan menerangkan situasi tersebut kepada isteri saya, akan jatuh zihar kerana ada contoh lafaz zihar?

Saya ada baca kalau mengucapkan contoh lafaz zihar dalam situasi pembelajaran atau untuk penceritaan tanpa niat zihar, maka tidak jatuh zihar. Tetapi saya masih was-was dalam situasi ini. Mohon dapat bimbingan yang lebih jelas dari pihak Ustaz/Ustazah.

Terima kasih banyak-banyak atas pencerahan yang bakal diberikan. Moga ilmu yang dikongsikan dapat dijadikan manfaat rujukan bersama.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada situasi yang dijelaskan, tidak berlaku zihar hanya kerana tuan membaca terjemahan atau tafsir ayat al-Quran yang mengandungi contoh lafaz zihar, kemudian mengulanginya semula kepada isteri bagi tujuan penerangan. Hal ini kerana ucapan tersebut termasuk dalam kategori hikayah (حكاية), iaitu menceritakan atau memetik semula sesuatu lafaz, serta ta'lim (تعليم), iaitu bertujuan mengajar, menjelaskan atau membincangkan hukum. Dalam keadaan ini, lafaz yang diucapkan bukanlah ditujukan kepada isteri sebagai suatu pengisytiharan zihar, sebaliknya sekadar membaca kandungan tafsir dan menerangkan maksud ayat untuk tujuan tadabbur serta memahami isi kandungan al-Quran.

Di samping itu, perlu difahami bahawa membaca, mengajar atau membincangkan ayat-ayat al-Quran serta hukum-hakam syarak tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan bahawa seseorang telah melakukan zihar atau talak hanya kerana menyebut contoh lafaz yang terdapat dalam nas syarak. Sekiranya setiap sebutan lafaz tersebut ketika membaca, mengajar atau menjelaskan hukum dianggap sebagai zihar atau talak, sudah tentu para ulama, guru, pendakwah, pensyarah dan pembaca al-Quran akan sentiasa terdedah kepada hukum tersebut. Sedangkan para fuqaha telah membezakan secara jelas antara lafaz yang diucapkan sebagai suatu akad atau pengisytiharan yang membawa implikasi hukum dengan lafaz yang disebut semata-mata sebagai petikan, contoh, perbincangan ilmiah atau tujuan pengajaran.

Oleh yang demikian, berdasarkan situasi yang dinyatakan, zihar tidak berlaku. Tuan juga tidak perlu melayani perasaan was-was yang timbul. Sebaliknya, teruskan membaca al-Quran, tafsir dan mendalami ilmu agama dengan tenang, kerana syariat tidak membina hukum atas sangkaan dan keraguan, sebaliknya berdasarkan maksud, tujuan serta konteks sesuatu ucapan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image