BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ada kawan perempuan yang mempunyai seorang anak perempuan luar nikah. Selepas beberapa tahun, kawan saya berkahwin dan suami dia menerima baik anak itu dan mempunyai 3 orang anak dengan suami. Baru baru ini, kawan saya telah meninggal dunia dan anak perempuannya telah berumur 15 tahun. Jadi soalan saya:

1) adakah anak luar nikah ini masih boleh tinggal bersama bapa tiri dan adik adik tiri nya? 2) adakah mereka mahram dan boleh tinggal serumah?

3) bapa tiri mahu menjaga anak kawan saya. Adakah dia perlu mengambil surat penjagaan anak angkat untuk menjadi penjaga yang sah?

Mohon pencerahan.

 

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan:

1) Anak tersebut masih boleh tinggal bersama bapa tiri dan adik-adiknya kerana mereka telah menjadi mahram. Pertama mahram dengan sebab ibu kandungnya berkahwin dengan bapa tirinya (mahram disebabkan perkahwinan). Kedua dengan adik-beradiknya sebab mereka adik-beradik seibu dan boleh mewarisi harta pusaka ibu kandungnya. Ini berdasarkan kepada surah An-Nisa' ayat 23 :

حُرِّمَتۡ عَلَیۡكُمۡ أُمَّهَـٰتُكُمۡ وَبَنَاتُكُمۡ وَأَخَوَ ٰ⁠تُكُمۡ وَعَمَّـٰتُكُمۡ وَخَـٰلَـٰتُكُمۡ وَبَنَاتُ ٱلۡأَخِ وَبَنَاتُ ٱلۡأُخۡتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِیۤ أَرۡضَعۡنَكُمۡ وَأَخَوَ ٰ⁠تُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَاۤىِٕكُمۡ وَرَبَـٰۤىِٕبُكُمُ ٱلَّـٰتِی فِی حُجُورِكُم مِّن نِّسَاۤىِٕكُمُ ٱلَّـٰتِی دَخَلۡتُم بِهِنَّ 

Maksudnya : Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri...

2) Tidak perlu, anak tersebut bukan anak angkat bahkan anak tirinya sendiri dan menjadi tanggungan kepada bapa tirinya. Kesediaan bapa tiri memelihara, melindungi dan menjaga kebajikannya mudah-mudahan mendapat ganjaran dari Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 4

message user image