Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah hukum jika suami bertukar atau menerima pekerjaan baru yang gaji nya lebih kecil dari kerja yang sedia ada sehingga menganggu serta berlaku perubahan drastik sehingga nafkah terganggu sebab gaji agak tidak tinggi, contoh gaji kerja sedia ada hampir RM 2,600 sebab sudah kerja hampir 4 tahun di jabatan kerajaan dan saya memohon dan lulus temuduga juga di sektor kerajaan yang bertaraf kontrak interim dan bergaji ditawarkan RM 1500 (gaji pokok), dan agak terjejas nafkah pada isteri dan anak sehingga duit pemberian pada isteri tidak dapat dilunaskan dengan jumlah yang tinggi sebab untuk keperluan saya sendiri pun tidak cukup. Mohon penjelasan dan nasihat daripada tuan. Terima kasih.
Jawapan
Nafkah isteri dan anak-anak merupakan suatu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas suami. Kewajipan ini tidak gugur selagi mana isteri tidak nusyuz (derhaka). Adapun kewajipan nafkah ini terdiri daripada tempat tinggal, pakaian, makanan dan keperluan asas lain mengikut kemampuan suami. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq, ayat 7:
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, suami puan telah menukar pekerjaan yang berpendapatan lebih rendah daripada sebelumnya sehingga menyebabkan pemberian kepada puan berkurang. Meskipun begitu, kadar nafkah yang wajib diberikan suami adalah sekadar kemampuannya berdasarkan gaji baru sahaja. Namun, ini bukanlah bermakna suami boleh bermudah-mudahan mengurangkan nafkah kepada tanggungannya.
Sekiranya pertukaran pekerjaan tersebut atas alasan yang tidak berasas seperti bertujuan untuk mengelakkan daripada tanggungjawab untuk menafkahi atau memudaratkan keluarga adalah tidak sewajarnya dilakukan dan perlulah dielakkan. Adapun jika bertujuan untuk mengeluarkan diri daripada dibelenggu tekanan daripada tempat kerja yang lama sehingga menjejaskan kesihatan serta pekerjaan tersebut tiada jaminan masa hadapan, maka menukar kepada pekerjaan yang baru adalah lebih wajar.
Bahkan, sekiranya pemberian nafkah kepada isteri terganggu secara mendadak sehingga keperluan asas tidak mencukupi, isteri mempunyai hak untuk menuntutnya. Dalam keadaan ini, isteri boleh memilih untuk terus bersabar dengan suami atau menuntut fasakh di Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.