BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz.

Saya nak bertanya berkenaan hukum taharah. Sebelum ni saya pernah belajar waktu sekolah tapi tak pernah amalkan sebab fikir janji bersih.

Setelah 26 tahun baru saya ada kesedaran berkenaan bersuci di mana perkara ini berkait rapat dengan solat. Saya malu nak beritahu tapi saya terpaksa sebab saya takut sebab saya punca satu rumah najis dan tak sah solat disebabkan saya.

Disebabkan maksiat yang saya pernah buat selama ini dirumah family dan di rumah orang lain yang saya telah menetap selama bertahun-tahun juga menyebabkan najis telah menyebar dimerata tempat iaitu air mazi. Lebih-lebih lagi pakaian saya yang bernajis yang telah bercampur dengan pakaian orang lain.

Sebelum ni saya fikir selagi mana bersih, sudah dikira suci. Tapi saya salah dan berdosa. Baju yang bernajis yang bercampur dengan baju lain menjadi najis juga. Solat mereka jadi tak sah untuk solat. Semua silap saya.

Bila tahun ni saya sedar bab najis dan taharah, baru saya sedar yang semua ni menjadi sebab semua tempat bernajis dan membuatkan tempat dan juga pakaian orang lain tidak sah untuk solat. Jadi disebabkan saya membuat bacaan di internet, kalau najis yang pernah tersebar itu kalau dah tak nampak dari segi warna, bau dan rasa, kita cuma jirus air mutlak sekali. Jadi saya pun jirus air satu rumah dan juga perabot. Namun, ada air yang bertukar mungkin sebab karat perabot atau najis yang ada padanya, saya tidak pasti. Tilam dan karpet saya hantar kedai cuci untuk basuh.

Tetapi waktu saya mengalirkan air satu rumah, ada najis cicak yang jatuh sekali dan warna telah bertukar di bilik dapur dan saya terus angkat dan buang. Rumah family saya rumah teres setingkat. Saya fikir lepas dah angkat, semuanya okay. Tapi bila belajar fardhu ain, air mutlak yang terkena najis cicak tu sudah dikira air mutanajis. Kira satu rumah dah tersebar najis.

Bagaimana saya nak sucikan semula ye ustaz untuk semua ni termasuk pakaian, kereta, rumah? Dan saya malu nak beritahu mak saya apa maksiat yang saya dah pernah buat sebelum ni yang menyebabkan najis dimerata tempat dan pakaian. Dan bagaimana rumah orang lain yang saya pernah buat maksiat yang sama?

Saya tak pasti nak jumpa siapa. Saya ikhtiar untuk tanyakan kepada ustaz berkenaan perkara ini dan saya ini semua aib tapi kalau saya tak tanya, saya akan berterusan rasa berdosa dan semua orang solat tak sah. Saya takut solat tak diterima dan paling takut orang lain semua, keluarga saya dan saudara mara lain yang saya pernah tinggal tempat mereka pun tak sah solat dan tak dapat masuk syurga.

Tolong saya ustaz. Saya nak berubah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa hukum taharah ditentukan berdasarkan perkara yang yakin, bukan sangkaan atau keraguan. Oleh itu, tidak wajar untuk menghukum bahawa seluruh rumah, pakaian ahli keluarga, kereta atau rumah orang lain telah menjadi najis sehingga menyebabkan solat mereka tidak sah.

Sekiranya yakin bahawa pakaian benar-benar terkena najis, memadai pakaian tersebut sahaja yang dicuci sehingga hilang sifat najisnya. Jika pakaian bernajis dibasuh bersama pakaian lain di dalam mesin basuh automatik sehingga hilang najis atau najis tersebut hanyalah najis hukmi (najis yang sudah tiada warna atau bau atau rasa), maka semua pakaian tersebut dihukumkan suci. Hal ini bertepatan dengan fatwa Dar al-Ifta' Mesir bernombor 176059 dan bertarikh 21 Mac 2012 yang menyatakan bahawa pakaian yang dicurahkan air ke atasnya menjadi suci apabila najis telah hilang atau najis itu hanyalah najis hukmi.

Begitu juga, tiada keperluan untuk menyiram air ke seluruh rumah atau perabot. Air yang mengalir kemudian terkena tahi cicak tidak menjadikan seluruh rumah bernajis. Hanya tempat yang jelas terdapat 'ain najis sahaja perlu disucikan.

Puan juga tidak perlu mendedahkan aib sendiri kepada ahli keluarga atau orang lain. Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT atas maksiat yang telah dilakukan, berazam untuk tidak mengulanginya serta teruskanlah mempelajari ilmu fardu ain agar tidak terbeban dengan sangkaan yang tidak berasas.

Begitu juga tidak perlu menganggap bahawa semua tempat dan pakaian yang pernah digunakan telah menjadi najis sehingga menjejaskan kesahan solat orang lain. Bersihkan hanya tempat atau pakaian yang benar-benar diyakini terkena najis mengikut hukum syarak dan tinggalkan segala keraguan yang tidak mempunyai kepastian.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 20

message user image