Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya membuat tuntutan palsu kerana masih jahil ketika waktu tersebut. sekarang saya nekad untuk pulangkan. masalahnya, sekiranya saya pulangkan duit tuntutan tersebut saya berisiko di tangkap dan di buang kerja dan menjejaskan tempat pencarian rezeki saya bekerja kerana pekara tersebut. boleh kah saya serahkan pada pusat baitulmal, atau ada kaedah lain?
Jawapan
Wang atau harta tidak patuh syariah adalah harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan hukuman ke atas pelakunya, atau terdapat ancaman buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 :
Yang bermaksud: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, wang hasil tuntutan palsu merupakan harta yang diperoleh secara tidak sah dan pada asalnya wajib dipulangkan kepada pemilik asalnya. Sekiranya pelaku bimbang pengakuan secara langsung boleh mengakibatkan mudharat seperti kehilangan pekerjaan, dia boleh berusaha memulangkan wang tersebut melalui kaedah yang sesuai tanpa mendedahkan identitinya, seperti memasukkan semula wang ke akaun majikan, menyerahkannya melalui saluran kewangan yang rasmi atau menggunakan wakil yang dipercayai, dengan syarat hak pemilik benar-benar kembali kepadanya.
Jika setelah segala usaha yang munasabah dibuat wang tersebut benar-benar tidak dapat dipulangkan kepada pemiliknya, maka bolehlah ia diserahkan kepada Baitulmal sebagai jalan terakhir, bukan sebagai pilihan pertama. Di samping itu, pelaku hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha, menyesali perbuatannya, berhenti daripada mengulanginya serta berazam untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih.