BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ...

Sekarang ada trend tambah pendapatan secara online. Daftar membuka akaun untuk terima bonus terus masuk ke akaun bank. Hanya dengan memberikan pengesahan untuk bantu menaikkan rating produk keluaran syarikat tertentu tanpa beri apa-apa ulasan/komen.

Dengan bonus yang dapat, dijadikan modal untuk perolehi bonus lebih tinggi. Peringkat awal tampak tiada penipuan. Bonus tersebut memang masuk ke akaun bank. Kemudian bonus yang ada perlukan tambahan modal untuk bonus lebih tinggi.

Pertanyaannya, adakah wang bonus yang diterima itu halal diambil.

Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara zahir skim ini boleh digambarkan sebagai peserta memberi khidmat kepada syarikat dengan cara memberikan pengesahan iaitu rating kepada produk. Sebagai balasan, syarikat membayar bonus yang dimasukkan ke dalam akaun bank. Peserta kemudian digalakkan menggunakan bonus tersebut sebagai modal untuk mendapat bonus yang lebih tinggi, lazimnya memerlukan tambahan modal sendiri. 

Secara asasnya kontrak ini boleh dikategorikan sebagai:

  1. akad ju’alah (ganjaran atas sesuatu kerja): syarikat bayar ganjaran kepada sesiapa yang melakukan kerja menaikkan rating atau; 

  2. Akad wakalah bi al-ujrah (agensi berbayar): peserta seolah-olah menjadi ejen untuk menaikkan nilai pemasaran produk. 

Merujuk kepada persoalan, asal hukum bonus atau komisen dalam muamalat adalah harus selagi mana kerja yang dibuat adalah halal, jelas dan tidak melibatkan penipuan, gharar (ketidakjelasan) atau zalim. Namun, skim seperti yang digambarkan berpotensi mengandungi unsur penipuan, gharar (ketidakjelasan) dan eksploitasi khususnya apabila:

  1. Tugas sebenar hanya “menaikkan rating” tanpa penilaian jujur terhadap produk. Tujuan rating ialah untuk menggambarkan kualiti atau kepuasan sebenar pengguna. Jika rating atas dasar dibayar tanpa pengalaman sebenar atau tanpa penilaian yang jujur, ia adalah satu bentuk tadlis (penipuan, manipulasi maklumat). Dalam fiqh muamalat, tadlis dan ghisy (penipuan) adalah diharamkan dan pendapatan yang terhasil daripada usaha penipuan tidak dikira sebagai pendapatan yang halal. 

  2. Peserta digalakkan menggandakan bonus dengan menambah modal. Pada peringkat awal, bonus yang diterima nampak terlalu mudah iaitu hanya sahkan dan hasilnya peserta akan mendapat bonus dengan nilai yang kecil. Kemudian peserta digalakkan untuk menambah modal bagi mendapatkan bonus yang lebih tinggi. Keadaan ini boleh membawa kepada risiko gharar iaitu peserta tidak jelas bagaimana wangnya digunakan atau dari mana datang bonus sebenar adakah untung daripada perniagaan atau daripada duit peserta baharu.

Dalam prinsip wakalah pelaburan yang sah sebagaimana dinyatakan dalam Resolusi Shariah Bank Negara Malaysia (BNM), ejen hanya boleh menerima upah atas urusan pelaburan yang sebenar, jelas dan tidak menyalahi Shariah. Harta dilaburkan ke instrumen yang mempunyai potensi keuntungan yang benar-benar sah dan kerugian ditanggung oleh pemilik modal jika tiada kecuaian. Jika dalam skim ini, bonus bukan hasil pelaburan yang sah tetapi lebih kepada aliran duit masuk keluar antara peserta atau hasil manipulasi rating, ia tidak menepati ciri pelaburan yang patuh Syariah. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image