BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz, mohon bertanya. 

Abg ipar saya meninggal dunia, hartanya telah di bahagi-bahagikan mengikut hukum. Di dalam pembahagian itu, ada bahagian utk bapa mertua dan allahyarhamah ibu mertua iaitu sejumlah wang utk bapa dan sejumlah wang utk ibu mertua yang mana kami hendak satukan dan di masukkan dalam akaun bapa meetua saya. Sekiranya apa2 berlaku pada bapa mertua saya,

1) adakah sejumlah wang ini termasuk dalam harta yang boleh difaraidkan? 

2) adakah bahagian allahyarham ibu mertua saya juga termasuk dalam harta yang boleh difaraidkan? 

3) mohon pandangan ustaz dari segi hukum bagaimana sebaiknya dari segi hukum untuk kami menguruskan sejumlah wang itu. 

4) apakah hukumnya sekiranya adik beradik menggunakan wang tersebut? 

Kes kedua seorang anak permpuan belum berkahwin telah meninggal dunia, semua hartanya telah di buat pembahagian mengikut hukum, keseluruhan hartanya telah dibahagi-bahagikan. Sejumlah besar hartanya telah diberikan kepada ayahnya. Tiba satu masa ayahnya meninggal dunia. Semasa hayatnya beliau telah membuat hibah kepada salah seorang anaknya keseluruhan harta yang diterima dari allahyarhamah anaknya yang telah meninggal dunia. 

1) dari segi hukum adakah anak- anak allahyarham yang lain boleh menuntut harta tersebut? 

2) dari segi hukum apakah hukumnya sekiranya anak- anak yang lain cuba memperolehi harta tersebut melalui perundangan sivil? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan pertama:

  1. Apabila abang ipar tuan meninggal dunia, harta pusakanya telah dibahagi mengikut faraid kepada waris yang berhak termasuk ibu dan ayah mertua tuan. Jadi, bahagian yang menjadi hak bapa mertua adalah harta milik mutlak beliau. Jika bapa mertua meninggal dunia, harta miliknya pula menjadi harta pusaka dan difaraidkan kepada waris-waris yang berhak. Namun, jika dalam akaun bapa mertua terdapat wang milik orang lain contohnya harta ibu mertua yang belum diagihkan kepada waris ibu apabila ibu mertua meninggal dunia dan disimpan dalam akaun bapa mertua. Bapa mertua hanyalah pemegang amanah wang tersebut, bukannya wang tersebut milik bapa mertua yang perlu dicampurkan. 

  2. Jika ibu mertua meninggal dunia sebelum sempat menggunakan atau mengagihkan bahagian pusaka yang menjadi haknya daripada harta abang ipar, maka, bahagian yang menjadi hak ibu mertua menjadi harta pusaka ibu mertua. Ia perlu diagihkan kepada waris-waris ibu mertua yang berhak mengikut faraid ibu mertua. Bahagian tersebut tidak boleh dianggap terus milik bapa mertua semata-mata kerana dimasukkan dalam akaun beliau. 

  3. Cara terbaik dari segi hukum adalah mengasingkan dengan jelas jumlah milik bapa mertua dan jumlah milik ibu mertua. Bahagian ibu mertua hendaklah dikenal pasti sebagai harta pusaka ibu mertua dan diuruskan melalui proses pembahagian faraid kepada waris-warisnya. Jika perlu disimpan dalam akaun bapa mertua atas sebab praktikal, hendaklah direkodkan secara bertulis jumlah tertentu dalam amanah pusaka ibu mertua, maklum kepada waris yang terlibat dan memastikan ia tidak dicampur sebagai harta peribadi bapa mertua. Sekiranya waris yang berhak ke atas harta pusaka ibu mertua bersetuju secara sukarela untuk menghibahkan kepada bapa mertua, ia boleh dibuat dengan jelas melalui dokumen rasmi.

  4. Hukumnya bergantung kepada keizinan pemilik yang sah. Jika ia merupakan harta pusaka yang belum diagihkan, maka adik-beradik tidak boleh mengambil atau menggunakannya tanpa persetujuan semua waris yang berhak. Ia boleh termasuk dalam perkara menggunakan harta orang lain secara batil. Namun, jika semua waris yang berhak bersetuju dan mengizinkan menggunakan harta tersebut untuk tujuan tertentu, ia mestilah melalui dokumen rasmi dan menggunakannya setakat yang dipersetujui. 

Merujuk kepada soalan kedua:

Apabila harta anak perempuan yang meninggal dunia telah selesai dibahagikan mengikut faraid, bahagian yang diterima oleh ayah menjadi milik mutlak ayah. Ayah mempunyai hak untuk menguruskan hartanya sendiri sama ada menggunakan harta tersebut, menjualnya, menghibahkannya atau melaburkan harta tersebut. Jika ayah memilih untuk membuat hibah, ia mestilah memenuhi syarat-syarat sah menurut syarak (sempurna rukun dan syarat) dan undang-undang. 

1. Jika hibah tersebut sah dari sudut syarak, maka anak-anak yang lain tiada hak untuk menuntut harta tersebut. Pemberian hibah oleh pemilik harta semasa hidupnya kepada orang lain adalah hak pemilik harta tersebut. Namun meninggalkan waris atau ahli keluarga dalam keadaan kaya atau senang dan tidak meminta-minta adalah lebih baik berdasarkan kepada hadis daripada Saad bin Abi Waqas berkata:

جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ، وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا، قَالَ: «يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ»، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ؟ قَالَ: «لاَ»، قُلْتُ: فَالشَّطْرُ، قَالَ: «لاَ»، قُلْتُ: الثُّلُثُ، قَالَ: «فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ، وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ، حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ

Maksudnya: Nabi SAW datang menziarahiku ketika aku di Mekah. Baginda tidak suka untuk mati di tempat yang Baginda berhijrah daripadanya. Baginda berkata: Semoga Allah merahmati Ibn 'Afra'. Aku berkata: Ya Rasulullah, aku mewasiatkan hartaku kesemuanya. Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Separuh? Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Sepertiga? Baginda: Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia. Sesungguhnya engkau akan membelanjakan harta engkau dan ia akan sesungguhnya adalah sedekah hatta makanan yang engkau suapkan ke mulut isteri engkau. (Riwayat al-Bukhari)

2. Jika anak-anak yang lain mengetahui ia merupakan hibah yang sah menurut syarak, adalah tidak wajar bagi mereka menuntut harta yang bukan hak mereka. Namun begitu, adalah sebaiknya tuan merujuk kepada baitulmal MAIS yang menguruskan urusan hibah serta merujuk kepada mahkamah untuk sebarang proses tuntutan hibah. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 17

message user image