Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apa hukumnya menyimpan koleksi figura aksi? Abang saya dia ada hobi membeli & menyimpan figura² ni. Dia simpan semua dalam acrylic box elok² supaya tak berhabuk dan sebagainya. Adakah tindakan dia menyimpan figura-figura tu pun dikira sebagai menyimpan patung dalam rumah & akan menyebabkan malaikat rahmat tak masuk rumah?
Jawapan
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abi Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung. (Riwayat al-Bukhari)
Namun, sekiranya patung dan figura itu bertujuan untuk dipuja atau disembah atau dimuliakan, maka hukumnya haram. Manakala, jika ia sekadar untuk permainan kanak-kanak, maka hukumnya diharuskan dengan syarat ia tidaklah besar dan hanya permainan kanak-kanak.
Ada baiknya hobi yang dipilih itu adalah hobi yang boleh mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT . Contohnya, aktiviti sukarelawan membantu kebajikan dan pendidikan golongan fakir dan miskin, membersihkan tandas-tandas masjid, dan membeli bahan bacaan yang baik dan membacanya. Walau pun pada asalnya, memiliki patung-patung kecil sebagai permainan ada keharusan, jika tidak dipuja sekalipun, ia menjurus kepada pembaziran. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra ayat 27:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Sekian, terima kasih