BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

1. Kalau terbeli buku di shoppee dalam bentuk pdf atau fizikal yang "reprint" tanpa tahu yang ia adalah cetak rompak adakah berdosa? 
2. jika sudah perasan yang buku itu adalah "re-print" dari yang asal dan masih beli kerana murah adakah berdosa? Saya tidak lagi beli. Ini yang dulu.

3. saya sebenarnya lupa sama ada saya ada beli buku2 tersebut dalam keadaan sedar yang ianya adalah reprint atau tidak. Adakah saya perlu membayar balik kepada penulis asal? Jika sudah banyak beli macam mana ye? Kerana ada ketika saya beli saya pon tak tahu ianya bentuk cetak rompak. Dan ada mungkin ketika saya beli saya sudah sedar tapi sekarang saya lupa. 
 

4. bagaimana pula dengan barangan lain? Adakah berdosa juga? Kalau kita tak tahu ianya cetak rompak adakah boleh? 
 

5. adakah perbuatan ini menyebabkan amal ibadah tidak diterima Tuhan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Sebuah hadis daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, (Riwayat al-Bukhari)

Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah meluluskan resolusi berikut:

“Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dll). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”.

Justeru harta atau produk yang telah didaftarkan adalah diiktiraf syarak, maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti cetak rompak dan seumpamanya walaupun ia milik bukan Islam.

 

Situasi 1: Sekiranya tidak mengetahui dan jahil samada ia cetak rompak adalah dimaafkan.

Situasi 2: Sekiranya sudah mengetahui ianya cetak rompak, maka ia tidak boleh diceroboh sama sekali kerana ia ada pemiliknya dan berdosa.

Situasi 3 dan 4: Ambil ketentuan yang boleh menyakinkan tuan kerana sekiranya ia tidak dijelaskan, maka pasti hati tuan tidak akan tenteram.

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.(Riwayat al-Tirmizi)

Situasi 5: Amal ibadah masih diterima oleh Allah SWT walaupun isu ini masih belum diselesaikan dengan menyeluruh.

Perbanyakkan taubat dan istighfar serta berazam tidak mengulangi lagi perbuatan yang diharamkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image