Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Saya ada persoalan. Jika kami dalam persatuan mahasiswa Islam, kami ada Muslimin dan muslimat. Jadi, biro program adalah terdiri dari ahli muslimin dan muslimat. Kami juga akan adakan program ukhuwah atau "family day" untuk merapatkan ukhuwah sesama kami. Adakah dibenarkan? Sebab saya ada terbaca dalam threads, "Rapat-rapat kononnya ukhuwah Islamiyyah, nak bonding". Perkara ini buatkan saya keliru adakah ukhuwwah kami ini baik atau buruk. Dilindungi dengan "ukhuwwah atau bonding Islamiyyah". Mohon penerangan. Barakallahu fiik.
Jawapan
Secara umumnya, mengadakan program ukhuwah atau family day yang melibatkan muslimin dan muslimat dengan tujuan mengeratkan silaturrahim dan kerjasama berpasukan adalah harus. Pertimbangan harus dan haram itu bergantung kepada niat, pengisian program serta cara pelaksanaannya, bukan semata-mata nama program atau tujuan "ukhuwah".
Asas pergaulan yang melibatkan percampuran antara lelaki dan wanita hanya dibenarkan pada urusan penting sahaja dan urusan keperluan bagi muamalat seharian sesama manusia. Hal tersebut dibenarkan selagi tidak menimbulkan sebarang fitnah di samping menjaga batas-batas pergaulan serta garis panduan yang telah ditetapkan syariat dan memelihara nilai-nilai adab.
Paling asas dalam pelaksanaan program seumpama ini adalah pergaulan yang sekiranya tidak dijaga boleh membibitkan pelanggaran syarak seperti bersentuhan, berhubungan tanpa tujuan dan melanggar etika muslimin dan muslimat. Sekiranya unsur-unsur fitnah dapat dielakkan, maka program seumpama ini adalah harus.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih