Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Tuan/Puan,Mohon pencerahan hukum berkenaan status suci saya; saya sudah enam bulan tidak didatangi haid (yang mana sebelum ini tarikhnya tidak menentu),namun baru-baru ini telah keluar lendir berwarna coklat hanya sekali sahaja dan tidak berlarutan sehingga tempoh minimum haid (24 jam), jadi adakah saya diwajibkan mandi hadas untuk bersolat atau memadai dengan hanya membersihkan diri dan berwuduk sahaja?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya cecair lendir berwarna coklat keluar hanya seketika atau sekali sahaja dan tidak memenuhi syarat darah haid, iaitu keluar sekurang-kurangnya 24 jam secara berterusan dalam tempoh sehari semalam atau berselang seli dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam, maka ia dianggap sebagai darah istihadhah.
Dalam situasi puan, selepas darah itu keluar seketika lalu berhenti dan dipastikan tiada darah yang keluar, maka puan hanya perlu membersihkan diri lalu wuduk untuk solat, tanpa perlu mandi wajib.
Sekian, terima kasih.