Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya tinggal di luar negara dan mempunyai masalah untuk tentukan waktu solat. Di kawasan yang saya tinggal, ada beberapa masjid yang keluarkan waktu solat. Tapi ada perbezaan besar untuk waktu solat subuh di antara masjid-masjid. Salah satu masjid mengumumkan waktu subuh pada pukul 1 pagi, manakala ada yang mengumumkan pada waktu 3 pagi. Saya ingin bertanya waktu solat yang mana patut saya ikut memandangkan semua masjid tersebut ialah masjid sunni.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, waktu solat Subuh adalah apabila terbitnya fajar sadiq iaitu cahaya putih mendatar di ufuk timur. Keadaan ini dapat diketahui melalui pemehatian suasana langit. Namun, pada zaman ini, waktu solat dapat diketahui melalui kaedah hitungan ahli-ahli falak. Menurut kaedah falak, masuknya waktu Subuh di Malaysia dan beberapa negara lain adalah apabila sudut matahari berada -18° di bawah ufuk timur.
Berdasarkan maklumat yang diberikan terdapat perbezaan yang besar apabila terdapat masjid yang waktu Subuhnya pada jam 1.00 pagi dan masjid yang lain pada jam 3.00 pagi. Namun, secara umumnya, melewatkan waktu Subuh sehingga yakin waktu Subuh yang sebenar telah masuk adalah digalakkan pada situasi ini. Pastikan terdapat kesan cahaya di langit dan matahari belum lagi terbit.
Saudari juga boleh menggunakan beberapa aplikasi bagi mendapatkan waktu solat dan membuat semak silang jadual waktu solat di masjid untuk lebih keyakinan. Antaranya adalah aplikasi Muslim Pro, MyKiblat oleh JUPEM, Planetdroid, SunCalc.org dan sebagainya.
Jabatan ini bersedia membantu membuat pengiraan waktu solat yang sebenar jika mendapat maklumat lengkap kedudukan saudari berada.
Sekian, terima kasih.