Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya bekerja di kilang dalam negeri selangor , kilang saya ni membuat sistem solat jumaat bergilir. Sekarang saya sedang dalam usaha untuk mencari tempat kerja baharu yang membolehkan solat jumaat setiap minggu.
Soalan saya , apakah dosa saya ditanggung oleh majikan(bukan muslim) kerana saya tidak keluar solat jumaat pada minggu tertentu atas sebab mematuhi(saya tidak rela hati) arahan majikan ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, solat Jumaat adalah fardu ‘ain bagi setiap lelaki Muslim yang baligh, bermukim dan tidak mempunyai uzur syar‘i berpandukan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu'ah ayat 9 iaitu:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Majikan boleh membuat penggiliran dengan syarat hanya melibatkan bilangan minimum pekerja lelaki yang perlu ada bagi tugas kritikal.
Pekerja yang terpaksa meninggalkan solat fardhu Jumaat tanpa kerelaan hati tidak menanggung dosa. Pihak syarikat hendaklah mencari pilihan lain seperti melantik pekerja wanita bagi menggantikan tugas kritikal tersebut.
Sekian, terima kasih.