BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanya apakah hukumnya dalam agama jika seseorang itu membayar wang kepada sekolah memandu supaya lulus ujian memandu( setelah bayaran dipinta oleh guru memandu) kerana kerap kali gagal ujian? Si fulan itu cekap memandu tetapi cuma gagal jika hendak memarkir di dalam petak garisan.  Adakah lesen yang diperolehi itu haram digunakan? Apakah hasil rezeki yang diperolehi melalui lesen kereta itu juga haram? Terima kasih Tuan Mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Perbuatan rasuah adalah haram di dalam Islam dan jenayah menurut undang-undang. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Begitu hadis daripada Abu Hurairah RA berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالمُرْتَشِيَ

Bermaksud: Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah. (Riwayat Al-Tirmizi)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, membayar wang kepada guru atau pegawai untuk meluluskan ujian tanpa memenuhi syarat sebenar adalah termasuk dalam kategori rasuah. Lesen yang diperoleh melalui rasuah adalah haram dari sudut syarak.

Sekiranya lesen tersebut digunakan untuk bekerja seperti sebagai pemandu teksi atau e-hailing, dijelaskan bahawa jika individu tersebut sememangnya memiliki kemahiran memandu yang mencukupi dan mampu mengendalikan kenderaan dengan selamat, maka kesalahan utama terletak pada cara memperoleh lesen tersebut, bukan pada kemahiran memandunya. Oleh itu, pendapatan yang diperoleh adalah halal, namun dia tetap memikul dosa atas perbuatan rasuah yang dilakukan ketika mendapatkan lesen tersebut. Sebagai jalan penyelesaian hendaklah bertaubat nasuha serta menyesal, berhenti dan berazam tidak mengulangi perbuatan rasuah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image