Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum mempelajari seni bela diri seperti Muay thai dan boxing (tinju)?
kerana seni bela diri tersebut mempunyai unsur memukul muka.
Sejurus dengan itu, apakah hukum menyertai pertandingan bagi seni bela diri tersebut?
Jawapan
Hukum mempelajari seni bela diri seperti Muay Thai dan tinju, serta menyertai pertandingannya, memerlukan perincian berdasarkan prinsip syariah. Secara umum, Islam menggalakkan umatnya untuk menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal, termasuk melalui latihan seni bela diri yang bermanfaat. Namun, terdapat beberapa batasan yang perlu diambil kira, terutamanya berkaitan dengan memukul muka dan risiko kecederaan.
Berkaitan dengan perkara ini, hukum asal mempelajari seni bela diri adalah diharuskan selagi tidak membawa mudarat dan menjaga aspek-aspek keselamatan. Sekiranya ia boleh membawa mudarat, kecedaraan serius dan melanggar etika keselamatan, maka hukum keharusan boleh berubah menjadi haram. Dalam seni bela diri yang melibatkan pukulan pada muka, maka hendaklah dijaga dengan baik agar pukulan tersebut tidak membawa sebarang bentuk kecederaan walau sekadar lebam sekalipun. Walaupun sekadar latihan, tetap tidak diharuskan untuk mencederakan muka.
Begitu juga hukum menyertai pertandingan tinju atau seni bela diri perlu dilihat pada dua aspek utama iaitu aspek keselamatan dan aspek judi. Berkenaan aspek keselamatan, jika melibatkan kecederaan serius dan pukulan yang tidak sepatutnya, maka ia adalah haram. Manakala pada aspek perjudian, sekiranya pertandingan tersebut melibatkan unsur judi, maka ia diharamkan.
Sekian, terima kasih.