BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya graphic designer. Saya nak tahu apa hukum jika kena buat design dan ada gambar model non-Muslim dalam design tersebut. Dimana auratnya kelihatan seperti bahu dan lengan kerana niche business adalah kosmetik, jadi pemilihan bajunya agak pelbagai. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam fiqh Islam, terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam air atau cermin.

Dalam bab ini, Imam Al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal). Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah.

Dalam hal ini, gambar sama ada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat atau berkerja dengan gambar yang tidak menutup aurat adalah dibolehkan jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat.

Walau bagaimanapun, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah al-zhan gambar tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.

Sebagaimana firman Allah SWT al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

والله أعلم بالصواب 

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image