Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya selamat bersalin pada 25/3/2026 kemudian keluar darah nifas berterusan sehingga 5/5/2026 (42 hari). Kemudian darah telah berhenti pada 6/5/2026 dan 7/5/2026 (2 hari) dan saya mandi wajib solat seperti biasa.
Pada hari seterusnya, saya dapati masih ada darah pada 8/5/2026 sehingga 11/5/2026 (4 hari) dalam kuantiti yang sangat sedikit (sehalus benang).
Namun begitu, hari berikutnya 12/5/2026 darah telah tiada dan keluar lendiran jernih (seperti hari kebiasaan saya suci). Keadaan ini membuat saya keliru jika perlu mandi wajib dan solat atau tidak.
Soalan saya, adakah saya perlu menunggu sehingga tempoh maksimum darah nifas 60 hari baru mandi wajib? Atau mandi wajib jika didapati darah telah kering.
Perkara ini mengelirukan saya kerana saya mengalami darah nifas putus putus. Terima kasih tuan/puan.
Jawapan
Secara asasnya, tiada had bagi sekurang-kurangnya tempoh nifas iaitu darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan walaupun hanya sekejap, maka ia dikirakan sebagai nifas. Kebiasaan tempoh nifas bagi kebanyakan wanita ialah 40 hari. Manakala sebanyak-banyak tempoh nifas ialah 60 hari.
Sekiranya darah nifas berhenti dalam tempoh 60 hari dari tempoh bersalin, kemudian darah datang semula dalam tempoh tersebut, maka perlu diperhatikan tempoh berhenti itu:
sekiranya tempoh berhenti darah itu kurang daripada 15 hari, maka darah yang datang semula itu dihukumkan sebagai darah nifas dan tempoh berhenti tersebut turut mengambil hukum nifas iaitu tidak boleh solat atau puasa.
sekiranya tempoh berhenti darah itu melebihi 15 hari dan ke atas maka darah yang datang semula itu dihukumkan sebagai darah haid jika cukup syarat asas iaitu sehari semalam atau 24 jam.Tempoh berhenti tersebut merupakan tempoh suci antara nifas dan haid.
Merujuk kepada persoalan, tempoh nifas puan pada awalnya ialah 41 hari (25/3/2026) hingga (5/5/2026). Kemudian, darah berhenti dan puan hendaklah mandi wajib dan solat dengan tanggapan darah nifas telah kering. Namun, pada 8/5/2026 hingga 11/5/2026 darah datang semula dalam tempoh masih tidak melebihi tempoh maksimum nifas. Jadi darah yang keluar semula tersebut dihukumkan sebagai darah nifas. Jadi, solat yang dilakukan dalam tempoh darah berhenti pada 6/5/2026 hingga 7/5/2026 adalah tidak sah, tapi ia tidaklah menjadi dosa kerana tanggapan awal darah nifas telah kering dan perlu mandi wajib dan solat. Tindakan ini merupakan tindakan yang betul. Puan tidak perlu menunggu hingga cukup tempoh maksimum nifas baru mandi wajib jika darah telah berhenti sebelum tempoh maksimum nifas.
Sekian. Terima kasih.