Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh...
Kehadapan Jabatan Mufti Negeri Selangor
Saya ingin bertanya tentang status musafir kerana mempunyai kekeliruan dalam cara perkiraan tempoh dan cara musafir. contoh situasi adalah seperti berikut:
saya tinggal di Pahang dan ingin pulang ke kampung di Kuala Lumpur. Tempoh masa saya berada di Kuala Lumpur adalah lebih daripada 3 hari tidak termasuk dengan perjalanan pergi dan pulang. cumanya garis masa dan perjalanan saya adalah seperti yang berikut:
- 1 April merupakan hari perjalanan dari Pahang pergi ke Kuala Lumpur (melebihi 2 marhalah)
- 2 hingga 4 April saya berada di Kuala Lumpur
- 5 April saya bergerak ke Melaka untuk melawat keluarga dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama. (melebhi 2 marhalah sehala)
- 6 hingga 7 April saya berada di Kuala Lumpur
- 8 April saya pulang ke rumah saya di Pahang.
persoalan saya adalah.
1) adakah pergerakan saya ke Melaka pada 5 April tersebut telah reset semula tempoh masa musafir saya kerana saya telah melakukan perjalanan pada hari tersebut dan pulang ke kampung semula.
2) adakah saya perlu bermalam di Melaka @ sesuatu tempat dahulu sebelum pulang semula ke kampung untuk reset tempoh musafir saya itu.
3) adakah saya cuma layak sebagai musafir dan boleh jamak qasar cuma pada hari perjalanan pergi dan pulang sahaja iaitu pada 1 April, 5 April dan 8 April, kerana pada hari tersebut saya melakukan perjalanan.
semoga persoalan ini dapat terjawab dan saya akhiri dengan ucapan ribuan terima kasih terlebih dahulu.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa keharusan menunaikan solat secara jamak dan qasar tuan boleh terputus jika berada dalam situasi berikut:
1. Berniat untuk bermukim di suatu tempat selama empat hari yang sempurna atau lebih beserta malamnya, tidak termasuk hari ketibaan dan hari bertolak pulang. Jika kita bermusafir ke suatu destinasi dan telah menempah hotel selama enam hari, maka bila tiba di destinasi atau lokasi tersebut tidak boleh lagi mengqasarkan solat, kerana telah berniat untuk bermukim empat hari dan ke atas.
2. Berniat untuk bermukim secara mutlak (iaitu hanya niat untuk bermukim dan tidak akan berpindah ke tempat lain lagi).
3. Tiba di tempat permulaan perjalanannya, seperti telah memasuki sempadan qaryah.
4. Berniat untuk kembali ke tempat permulaan perjalanan (berpatah balik) dalam keadaan jarak belum mencukupi 2 marhalah.
Berdasarkan situasi tuan, untuk tuan mendapatkan rukhsah solat jamak dan qasar, tuan tidak boleh berniat bermukim di satu-satu tempat 3, 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang). Jumlah hari tuan bermukim pada mulanya di Kuala Lumpur adalah 3 hari dan tidak sampai 4 hari sempurna. Justeru, tuan boleh melakukan jamak dan qasar bermula dari 1 - 4 April.
Adapun, perjalanan tuan pergi balik dari Kuala Lumpur - Melaka - Kuala Lumpur pada 5 April merupakan musafir tuan yang baharu dan boleh melaksanakan solat secara jamak dan qasar.
Permukiman semula tuan di Kuala Lumpur dikira sebagai hitungan bermukim yang baharu. Pada 6 dan 7 April, tuan masih boleh melaksanakan solat jamak dan qasar kerana niat tuan bermukim tidak melebihi 3 hari. Pada 8 April, tuan juga boleh melaksanakan solat jamak dan qasar kerana hari tersebut merupakan hari perjalanan tuan balik ke Pahang (tempat tinggal asal). Justeru, menjawab kepada persoalan tuan:
Ya. Perjalanan dari Kuala Lumpur - Melaka - Kuala Lumpur telah ditetapkan semula tempoh masa musafir yang baru.
Tidak perlu bermalam di Melaka atau menetap di mana-mana tempat lain kerana hari tersebut telah dikira sebagai hari perjalanan pergi dan pulang tuan.
Jawapan sebagaimana yang telah dinyatakan.
Sekian, terima kasih.