BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan.

Saya selalu merasa waswas adakah saya tertinggal rukun dalam solat. Kadang2 saya akan teruskan sahaja solat dan menghiraukan rasa tersebut. Tapi kadang2 saya mengulang balik rukun yang saya rasa tertinggal. Contohnya, pada rakaat terakhir, pada awalnya saya yakin saya sudah melakukan duduk antara dua sujud. Tetapi tiba2 timbul rasa tidak yakin lalu saya melakukan duduk antara dua sujud sekali lagi dan pada akhirnya saya sujud sahwi. Persoalan saya, adakah batal solat saya kerana menambah rukun dan perlukah saya mengulang kembali solat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perkara yang membatalkan solat ialah meninggalkan mana-mana rukun dengan sengaja, tidak menyempurnakan rukun atau melakukan perkara yang membatalkan solat. Duduk di antara dua sujud merupakan salah satu rukun solat. Oleh itu, apabila timbul keraguan, hendaklah berpegang kepada perkara yang diyakini. 

Jika puan yakin bahawa belum melakukan duduk di antara dua sujud, maka puan hendaklah melakukannya dan solat tidak batal. Sebaliknya, jika puan yakin telah melakukannya namun tetap mengulanginya hanya kerana was was, solat tersebut telah terbatal dan perlu diqada’.

Perlu difahami bahawa, dalam keadaan was was, perkara tersebut hendaklah diabaikan dan solat hendaklah diteruskan berdasarkan keyakinan asal. Was was ketika beribadah merupakan antara gangguan syaitan yang bertujuan menimbulkan keraguan dalam ibadah seseorang. Cara untuk mengatasinya adalah berusaha untuk khusyuk dan fokus ketika solat serta tidak memikirkan hal selain daripada solat di dalam solat. Disarankan juga agar puan mempelajari makna surah dan lafaz yang dibaca dalam solat supaya lebih memahami serta menghayati setiap bacaan.

Adapun sujud sahwi hanya disyariatkan apabila timbul syak atau keraguan dalam solat. Dalam situasi puan tidak perlu kepada sujud sahwi. Oleh itu, solatnya menjadi batal dan hendaklah diqada’. 

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image