Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang mandi wajib. tengah hari saya mandi wajib dan solat zuhur dan asar seperti biasa. Pada waktu petang nak ke malam, saya mandi biasa tetapi saya perasan ada kesan sellotape pada bahagian badan dan saya yakin sellotape tu ada sebelum saya mandi wajib tapi waktu mandi wajib tak perasan ada sellotape tu. Jadi persoalannya:
1. sah ke mandi wajib saya pada tengah hari tu?
2. adakah saya perlu qada' solat zuhur dan asar tersebut?
Terima kasih atas perhatian dan jawapan.
Jawapan
Rukun atau fardu mandi wajib ada tiga iaitu:-
1) Niat mengangkat hadas besar.
2) Membersihkan najis dan kotoran yang melekat pada badan dan menghalang air daripada sampai ke kulit.
3) Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada di badan.
Merujuk persoalan yang diajukan terdapat 2 keadaan iaitu:-
Imam al-Nawawi telah menjelaskan di dalam kitab Al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab bahawa jika terdapat sesuatu seperti lilin, doh, getah atau seumpamanya yang menghalang sampainya air ke kulit, maka taharah tidak sah sehingga penghalang itu dihilangkan dan air sampai ke bahagian tersebut. Oleh itu, jika puan benar-benar yakin sellotape itu sudah melekat pada kulit ketika mandi wajib dan ia menghalang air daripada sampai ke kulit, maka mandi wajib tersebut belum sempurna dan solat Zohor serta Asar yang dilakukan perlu diqada'.
Namun begitu, jika puan hanya menyedari kewujudan sellotape itu pada waktu petang dan tidak pasti sama ada ia sudah ada ketika mandi wajib atau melekat selepas mandi, maka hukum asal mandi wajib dan solat yang telah dilakukan adalah sah berdasarkan kaedah fiqh:-
Maksudnya: keyakinan tidak hilang dengan keraguan.
Apabila berada dalam keadaan syak atau tidak pasti, maka tidak wajib mengqada' solat kerana sesuatu ibadah yang telah diyakini sah tidak terbatal hanya dengan sangkaan atau keraguan yang datang kemudian. Oleh yang demikian, qada' solat hanya dilakukan sekiranya puan telah yakin atau sangat pasti bahawa sellotape tersebut memang telah wujud dan menghalang air daripada sampai ke kulit ketika mandi wajib dilakukan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.