Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum wbt, Saya suami telah bersama dengan isteri pada waktu sebelum maghrib, sebelum mula bersama saya semak dahulu adakah isteri datang haid. Setelah semak saya dapati isteri belum datang haid dan kami terus bersama. Selepas selesai bersama saya dan isteri pergi ke tandas untuk melakukan mandi wajib. Semasa di tandas isteri cuba semak semula dan didapati isteri datang haid. Apakah hukumnya ya ? Jikalau haram, apakah hukuman yang perlu suami laksanakan ? Minta penerangan, Terima kasih. Assalammualaikum wbt.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, tuan telah bersama dengan isteri dalam keadaan beliau masih suci. Oleh yang demikian, tuan tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana perbuatan tersebut dibenarkan syarak. Adapun isteri yang kedatangan haid selepas bersama tidak menimbulkan apa-apa permasalahan. Justeru, tidak ada hukuman yang dikenakan ke atas tuan.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 222:
Maksudnya: … Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri kamu dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci…
Sekian, terima kasih.