Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Yang Berbahagia SS Mufti,
Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang konsep pinjaman/pembiayaan "Tawarruq". Saya berhasrat untuk memohon skim pembiayaan daripada TEKUN Nasional untuk perniagaan saya. Cuma saya perlukan nasihat dan kepastian yang ianya bukan riba dan dibolehkan disisi syarak. Kekeliruan saya ialah apabila kita membayar jumpa yang lebih besar daripada pinjaman tunai tersebut, tidakkah ia dianggap riba? Di dalam laman TEKUN Nasional, mereka menyatakan ini berdasarkan konsepm "Tawarruq". Mohon penjelasan dan panduan SS Mufti.
Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara asasnya, pembiayaan berasaskan Tawarruq yang digunakan oleh institusi kewangan Islam di Malaysia adalah diharuskan di sisi syarak, selagi ia dilaksanakan mengikut struktur Syariah yang ditetapkan oleh Bank Negara. Kekeliruan utama dalam isu ini timbul apabila jumlah bayaran balik yang perlu dijelaskan adalah lebih tinggi daripada jumlah tunai yang diterima, sehingga menimbulkan persoalan sama ada lebihan tersebut termasuk dalam kategori riba.
Untuk faham isu ini, kita perlu bezakan antara pinjaman (qard) dan jual beli (bay‘).
Jika seseorang meminjam wang RM10,000 dan disyaratkan memulangkan RM12,000 hanya kerana tempoh bayaran, maka tambahan RM2,000 itu ialah riba, kerana ia merupakan keuntungan atas hutang.
Namun dalam konsep Tawarruq, transaksi ini bukan akad pinjaman, tetapi akad jual beli.
Secara mudah, prosesnya begini:
Pihak pembiaya membeli suatu komoditi (dengan harga RM10,000)
Komoditi itu dijual kepada pelanggan dengan harga bertangguh yang lebih tinggi (contohnya RM12,000).
Pelanggan kemudian menjual komoditi tersebut kepada pihak ketiga untuk mendapatkan tunai (contohnya RM10,000).
Jadi, lebihan bayaran itu bukan kerana “pinjam duit”, tetapi kerana harga jualan secara bertangguh, sebagaimana dalam jual beli biasa harga ansuran selalunya lebih tinggi daripada harga tunai.
Atas asas itu, tambahan bayaran dalam Tawarruq tidak dianggap riba, dengan syarat transaksi tersebut benar-benar memenuhi syarat Syariah. Dalam konteks Malaysia, konsep Tawarruq ini telah diterima dan digunakan secara meluas dalam pembiayaan Islam, termasuk oleh institusi kewangan yang mempunyai tadbir urus Syariah.
Justeru, jika skim pembiayaan TEKUN yang ditawarkan benar-benar berasaskan Tawarruq yang patuh Syariah, maka ia diharuskan dan tidak dikira sebagai riba.
Namun, untuk lebih yakin, penanya disarankan menyemak dengan pihak penyedia pembiayaan:
adakah produk tersebut benar-benar dinyatakan sebagai pembiayaan patuh Syariah;
adakah jumlah harga jualan keseluruhan dimaklumkan dengan jelas sejak awal;
dan adakah transaksi itu benar-benar menggunakan struktur Tawarruq, bukan sekadar pinjaman biasa yang diberi nama Islamik.
Kesimpulannya, tidak semua bayaran balik yang lebih tinggi daripada jumlah tunai yang diterima itu riba. Dalam Tawarruq, lebihan tersebut dianggap keuntungan jual beli, bukan faedah atas pinjaman, selagi struktur Syariahnya dipatuhi.
Sekian, terima kasih.