BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan/Puan,

Pada 7 tahun yang lepas, saya sangatlah ketagih melakukan onani akibat pornografi ( Semoga Allah bantu saya untuk berhenti ). Semestinya, tangan saya yang saya guna untuk beronani akan bernajis kerana air mani bercampur dengan air mazi. Akibat saya tidak tahu atau mementingkan hal-hal berkaitan najis, kadang kala saya akan menggunakan tangan tersebut untuk menyentuh sesuatu di rumah seperti tombol pintu sebelum membasuh tangan yang bernajis itu. Masalahnya sekarang, apabila saya sudah mula mementingkan hal-hal berkaitan kebersihan, saya sangat was-was yang melampau kerana saya bimbang najis tersebut telah tersebar ke seluruh rumah kerana telah dibiarkan begitu lama dan pasti orang lain akan sentuh juga tombol tersebut. Tambahan pula, tiada kesan atau pentanda 3 zat ( bau, warna atau rasa ) untuk tahu sesuatu di rumah itu bernajis atau tidak. Was-was ini sangat teruk sehingga saya tidak menyentuh sesuatu kerana paranoid ia bernajis dan akan mula tersebar di banyak tempat lagi. Sangat mustahil untuk saya membersihkan najis yang telah tersebar seluruh rumah tambahan pula saya tidak tahu sepastinya apa yang najis atau tidak.

Dengan hormatnya, saya memohon pencerahan tuan/puan kerana perkara ini telah menghantui saya buat masa yang sangat lama. Saya tahu paranoid saya ini berlebih-lebihan tapi saya takut tersalah langkah yang membuatkan segala ibadah tidak diterima Allah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa kita dituntut untuk menyucikan sesuatu apabila yakin dan jelas terdapat ain najis padanya. Jika kewujudan ain najis tidak dapat dipastikan, maka hukum kembali kepada hukum asal iaitu suci.

Apabila prinsip ini difahami dengan baik, perasaan waswas akan lebih mudah diatasi kerana kita mengetahui tindakan yang perlu dilakukan. Jika terdapat ain najis, maka bersihkan dan sucikan bahagian yang terkena najis tersebut. Sebaliknya, jika tiada ain najis atau kewujudannya tidak dapat dipastikan, maka abaikanlah keraguan tersebut dan jangan terus melayan fikiran yang menimbulkan waswas.

Justeru, tombol pintu atau barang-barang di rumah yang tidak dapat dipastikan terdapat ain najis hendaklah diabaikan kerana hukumnya adalah suci. Oleh itu, fahamilah prinsip ini, amalkanlah dalam kehidupan seharian dan mohonlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mengabaikan perasaan waswas yang datang daripada syaitan. Semoga Allah SWT juga mengurniakan kekuatan untuk melawan hawa nafsu dan syahwat yang dilarang oleh syarak.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 20

message user image