BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya menghadapi was was yang paling kuat dan ada beberapa soalan.

1. Apakah maksud niat? Adakah kesedaran dikira niat? Sebagai contoh , semasa saya berdiri atas sejadah saya sedar saya nak solat fardhu zohor. Adakah itu dikira niat?

2. Semasa saya cuba niat di hati , kadang kadang lidah saya bergerak sedikit sahaja mengikut niat tersebut dan ini menimbulkan was was kerana menganggap itu lafaz niat bukannya niat di hati.

3. Dimana kedudukan hati kerana saya selalu fikir niat itu kena rasa di dada hati , saya kadang kadang terasa niat itu di kesedaran otak.

Mohon bantu saya jawab dengan masalah yang sedang saya alami kerana saya hampir putus asa beribadah disebabkan was-was. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Was-was termasuk dalam salah satu sifat negatif yang menjadi beban psikologi, tidak mudah untuk dihilangkan begitu saja serta memerlukan masa untuk menghilangkannya. Akibat daripada was-was, seseorang itu merasakan ibadahnya tidak sah dan akan mengulangi perbuatan ibadahnya. Perkara ini boleh memberikan kesusahan melampau kepada dirinya jika tidak dibendung. Terdapat beberapa pendedahan dan pendekatan yang perlu diambil kira bagi menangani was-was terutama sekali apabila berkaitan perkara yang melibatkan ibadah seseorang

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Perlu difahami perbezaan antara niat dengan kesedaran. Niat ialah kehendak dan tujuan dalam hati untuk melakukan sesuatu ibadah kerana Allah SWT. Adapun kesedaran untuk menunaikan solat hanyalah keadaan seseorang yang mengetahui bahawa dia ingin menunaikan solat. Oleh itu, kesedaran semata-mata belum dikira sebagai niat selagi mana niat belum dihadirkan di dalam hati ketika memulakan solat.

  2. Seperti yang telah dijelaskan, niat hendaklah dihadirkan di dalam hati. Adapun pergerakan lidah, sama ada sedikit atau dengan melafazkan niat secara lengkap, hanyalah dianggap sebagai lafaz niat. Menurut mazhab Shafi‘i, melafazkan niat adalah sunat kerana membantu menghadirkan niat di dalam hati. Justeru, jika tuan telah yakin bahawa niat telah hadir di dalam hati, maka tidak perlu lagi melayan perasaan was was. Sebaiknya, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT dengan membaca isti‘azah sebelum memulakan solat.

  3. Niat bukanlah sesuatu yang perlu dirasai pada bahagian tertentu dalam tubuh seperti dada atau jantung. Yang penting ialah kehendak dan tujuan untuk menunaikan solat hadir di dalam hati. Oleh itu, tuan tidak perlu memikirkan di manakah "kedudukan" niat atau cuba merasainya pada anggota tertentu kerana perkara tersebut hanya akan menimbulkan waswas.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image